Krisis Tun M dan Najib: 'Biar saya jadi tukang 'settle'' - Rahim

Wan Syamsul Amly
Jun 10, 2015 08:02 MYT
RAHIM: Krisis Tun M dan Najib: 'Biar saya jadi tukang 'settle'' - Gambar fail
Satu pertemuan khas harus dibuat antara Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memfokuskan usaha menyelesaikan kemelut dan krisis termasuk merungkai persoalan utama melibatkan isu syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik berkata, pertemuan perdana menteri dan bekas perdana menteri itu juga akan menjadi titik tolak persefahaman bersama demi melihat perpaduan orang Melayu di negara ini terjamin dan berkekalan.
"Kita ada ramai veteran UMNO yang sudi memberi kerjasama, jika ia terjadi, saya sendiri yang akan mengatur pertemuan penuh bersejarah ini.
"Demi kebaikan negara, orang Melayu dan parti keramat UMNO, ia harus dilaksanakan segera sama ada secara rasmi atau dibuat dalam situasi tertutup.
"Biar hanya individu tertentu yang menyelesaikan isu ini, paling penting ia diselesaikan segera dan wawasan negara berada di landasan betul menjelang beberapa tahun sahaja lagi sebelum tahun 2020," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Demi kebaikan negara, orang Melayu dan parti keramat UMNO, ia harus dilaksanakan segera sama ada secara rasmi atau dibuat dalam situasi tertutup
BACA: Najib jawab dakwaan Mahathir wujud "masalah lebih besar"
Pada Selasa, Najib di dalam blognya memberitahu, dakwaan Dr Mahathir kononnya dia menimbulkan 'masalah lebih besar' terhadap negara ini sebahagian besarnya berpunca daripada perbuatan bekas perdana menteri itu sendiri.
Tegas Najib, 'masalah' yang dirujuk oleh Dr Mahathir sebahagian besarnya berpunca daripada perbuatannya sendiri akibat daripada 'serangan' dilakukannya dan tindakannya melaungkan pembohongan dan fitnah oleh pembangkang.
BACA: Melayu jangan cepat panik melihat 'pergeseran' antara Mahathir, Najib - Annuar Musa
Dalam pada itu jelas Rahim, Najib dan Dr Mahathir sendiri harus mempunyai semangat untuk menyelesaikan isu berkenaan dan berusaha untuk memastikan perjumpaan itu terlaksana.
"Kita sedar kemelut ini benar-benar serius kini namun jika kedua-dua pemimpin ini ikhlas untuk duduk bersama, ia akan menjadi kejayaan kepada seluruh rakyat negara ini.
"Najib dan Dr Mahathir harus sedar tanggungjawab masing-masing dan terus bersama dalam usaha memakmurkan negara. Ramai lagi pemimpin veteran UMNO mahu melihat kedua-dua pemimpin ini bersalaman semula.
"Kedua-dua pemimpin ini harus mengetepikan perasaaan peribadi serta kepentingan masing-masing. Ini soal melibatkan seluruh masyarakat, kematangan kedua-duanya menjadi platform kukuh yang memastikan hasrat ini mencapai kejayaan," jelasnya.
BACA: 'Tidak perlu pihak ketiga selesaikan kemelut Tun M-Najib' - Khairy
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan tiada pihak ketiga yang boleh menyelesaikan kemelut yang melanda antara Dr Mahathir dengan Najib.
Bagi Khairy, kalau perlu diadakan pertemuan antara dua individu terbabit, mereka boleh mengadakan perbincangan tersebut secara bersemuka.
BACA: Nasib Najib bakal ditentukan pada Perhimpunan Agung UMNO - Rahim
Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tan Sri Annuar Musa berpendapat, pergeseran pendapat antara Dr Mahathir dan Najib mungkin dilihat sebagai suatu yang menyulitkan dan merugikan UMNO namun itu tidak bermakna tiada jalan untuk membina kefahaman dan penyatuan.
Dalam pada itu kata Rahim, hasil perbincangan itu kelak tidak semestinya diumum kepada masyarakat namun kata putusnya diharap menguntungkan semua pihak.
"Objektif pertemuan itu jelas, selesaikan kemelut dan akhiri konflik yang merugikan orang Melayu," ujarnya.
BACA: Krisis Tun M dan Najib: Pembersihan UMNO bakal lahirkan pemimpin baru - Rahim
Rahim sebelum ini dilaporkan berkata, krisis Dr Mahathir dan Najib dilihat bibit-bibit awal proses pembersihan UMNO sebelum kelahiran pemimpin baharu yang akan memimpin parti.
TONTON: Najib-Tun M: Bersua muka selesaikan perselisihan pendapat
Rahim merupakan bekas Ketua Menteri Melaka dan pernah memegang jawatan Naib Presiden UMNO.
Selain Pengerusi Gabem, Rahim juga merupakan pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Yayasan Penggerak Wawasan(YPW).
#Dr Mahathir #Gabem #najib #rahim #UMNO #Wawasan 2020
;