Peguam Syahredzan Johan yang mengulas perkara tersebut berkata situasi di Perak membabitkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS dan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dari BN untuk merebut kerusi MB Perak mungkin bakal berulang di Terengganu.
Tambah beliau, jika terdapat undi tidak percaya yand dibuat di dalam Dewan, antara pilihan yang ada adalah untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihanraya negeri.
Namun Syahredzan turut berkata dalam kes di Perak, seseorang Menteri Besar boleh ditentukan melalui cara lain di luar DUN.
“Saya masih belum berkesempatan untuk menelaah perlembagaan Terengganu, tetapi saya yakin peruntukannya berkenaaan dengan perlantikan dan kehilangan sokongan seseorang MB dan EXCO-nya adalah sama dengan perlembagaan negeri-negeri lain,” kata beliau.
Berikut adalah antara ulasan Syahredzan mengenai situasi di Terengganu yang dimuat naik di Twitter dan Facebook beliau:
- Kedudukan kerusi sekarang - BN 15, PR 15 dan Bebas 2.
- Kerajaan Terengganu kini kerajaan minoriti. Kerusi yang dipegang adalah kurang daripada majoriti kerusi dalam DUN. Kekuatan kerajaan BN Terengganu bagai telur di hujung tanduk.
- ADUN Bebas tidak perlu masuk PR. Hanya perlu nyatakan bahawa mereka tidak menyokong MB. Sekiranya usul undi tidak percaya dibuat dalam Dewan dan Menteri Besar baru tewas dengan PR + Bebas, maka dia punya 2 pilihan.
- Pilihan pertama adalah dengan memohon kepada DYMM Sultan untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihanraya negeri.
- Pilihan kedua adalah untuk meletakkan jawatannya bersama-sama dengan ahli EXCO.
- Sekiranya pilihan kedua diambil, maka DYMM Sultan harus melantik MB yang baru yang pada hematnya mendapat sokongan majoriti ahli DUN.
- Menurut kes Nizar v Zambry, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa sokongan terhadap seseorang MB itu boleh ditentukan melalui cara lain di luar DUN, tidak semestinya melalui undi tidak percaya.
- Juga menurut kes Nizar v Zambry, sekiranya MB dan EXCO tidak letak jawatan selepas hilang sokongan, maka kedudukan mereka dianggap sebagai kosong dan mereka tidak lagi menjadi MB dan EXCO.
- Sekiranya MB Terengganu tidak hilang sokongan sekalipun, sebuah kerajaan minoriti akan menghadapi pelbagai masalah, antaranya jika mereka membentangkan rang undang-undang untuk diluluskan oleh DUN. Dan juga mereka sentiasa punya risiko untuk tewas undi tidak percaya/tidak dapat sokongan majoriti ADUN.
- Senang cerita, situasi di Terengganu sekarang havok, havok.