Krisis tanah Felda, audit bermula esok - Shahrir
Shahrul Hassan
Januari 7, 2018 14:51 MYT
Januari 7, 2018 14:51 MYT
Audit berhubung isu pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur akan bermula esok selepas Jabatan Perdana Menteri (JPM) melantik syarikat audit luar pada Khamis lalu.
Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, audit ini akan memastikan pihak yang terlibat dengan salah laku tidak akan terlepas.
“Jika ada tindakan disiplin atau salah laku yang lain, atau terjumpa aspek yang boleh dikenalpasti sebagai salah laku, kita tidak akan berkompromi dengan soal tanah milik Felda.
“Kita berpendapat pindah milik itu sebagai salah laku dan kita mahukan tanah itu semula,” katanya pada sidang media selepas melawat desa Datuk Hajah Hasnah Ahmad, Bakar Batu di sini, hari ini.
Kos audit yang ditanggung JPM itu pernah dilakukan semasa isu penggantungan sementara Pengarah Besar Felda pada Disember 2014.
Pada 21 Disember lalu, Shahrir dalam satu sidang media khas melaporkan wujud penipuan dalam proses pertukaran hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Malah, Felda sehingga kini tidak menerima sebarang pembayaran hasil penukaran hak milik tanah strategik itu yang kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Shahrir kini memfokuskan untuk menuntut semula keempat-empat lot tanah bernilai RM270 juta yang kini dimiliki oleh sebuah syarikat swasta.
#Felda
#Jabatan Perdana Menteri
#Kuala Lumpur Vertical City
#pindah milik tanah
#Tan Sri Shahrir Abdul Samad
#tanah Jalan Semarak