Krisis Rusia-Ukraine: Tujuh rakyat Malaysia terkandas selamat tiba di KLIA

Fareez Azman
Mac 1, 2022 16:50 MYT
Sebelum ini, 13 warganegara Malaysia telah meninggalkan Ukraine pada 14 hingga 24 Februari lalu atas nasihat Kedutaan Besar Malaysia di Kiev dan Kementerian Luar. - Gambar Wisma Putra
KUALA LUMPUR: Tujuh daripada sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Kiev, ibu negara Ukraine, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Kumpulan itu yang sebelum ini terpaksa mengharungi perjalanan darat lebih 10 jam ke Warsaw, Poland, dalam usaha keluar dari Ukraine, tiba di KLIA jam 3.06 petang tadi.
Kesemua mereka termasuk dua pegawai kedutaan Malaysia di Kiev itu disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, kira-kira jam 4.20 petang.
Mereka merupakan kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Ukraine dalam misi evakuasi diketuai Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Kiev, Fadillah Daud dan Setiausaha Kedua, Aminuddin Osman.
Kumpulan itu meninggalkan Kiev melalui jalan darat pada petang 25 Februari dan memasuki Poland pada malam 26 Februari, sebelum disambut dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw.
Turut dibawa keluar dalam misi itu, seorang warganegara Singapura.
BACA: Krisis Rusia-Ukraine: Rakyat Malaysia lalui perjalanan darat selamat tiba di Poland
SEMUA LAPORAN MENGENAI KRISIS RUSIA-UKRAINE DI SINI
Krisis Rusia-Ukraine | Rakyat Malaysia terkandas tiba esok
Sebelum ini, 13 warganegara Malaysia telah meninggalkan Ukraine pada 14 hingga 24 Februari lalu atas nasihat Kedutaan Besar Malaysia di Kiev dan Kementerian Luar.
Krisis Rusia-Ukraine sudah masuk hari keenam sejak operasi ketenteraan dilancarkan Kremlin ke atas negara itu.
Sehingga kini dianggarkan 500,000 rakyat Ukraine telah melarikan diri ke sempadan Poland dan Hungary.
#krisis Rusia-Ukraine #rakyat Malaysia #selamat tiba #tiba di Malaysia
;