Krisis Rusia-Ukraine: Malaysia harap penyelesaian damai segera dicapai - Ismail Sabri

Bernama
Februari 24, 2022 22:20 MYT
Perdana Menteri turut meluahkan rasa dukacita atas perkembangan di Ukraine dan memaklumkan keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan selamat. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia berharap agar satu jalan penyelesaian damai yang terbaik di antara Ukraine dan Rusia dapat segera dicapai, seterusnya berjaya menyelesaikan konflik itu.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui hantaran terbaharu di akaun Twitter rasminya, hari ini.
Beliau turut meluahkan rasa dukacita atas perkembangan di Ukraine dan memaklumkan keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan selamat.
Terdahulu, dalam sidang media pada akhir lawatan rasmi dua harinya ke Kemboja pada Khamis, Ismail Sabri berkata Malaysia sedang dalam proses memindahkan 11 rakyatnya dari Ukraine.
Krisis Ukraine-Rusia: Apa punca sebenar dan perkembangan terkini
Menurut laporan media antarabangsa, Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine.
Susulan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara.
Ukraine turut mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, disebabkan 'risiko tinggi' terhadap penerbangan awam.
-- BERNAMA
#krisis Rusia-Ukraine #Malaysia #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob
;