Krisis Rusia-Ukraine: Kedutaan Malaysia di Kiev ditutup sementara - Perdana Menteri

Fareez Azman
Mac 1, 2022 18:38 MYT
Ismail Sabri bertemu Fadillah yang sebelum ini mengetuai misi evakuasi kumpulan rakyat Malaysia di Ukraine. - Gambar/ Bernama
SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesahkan semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine sudah berjaya dikeluarkan dalam misi evakuasi yang dijalankan Kementerian Luar.
Bagaimanapun, jelasnya Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw, Poland sentiasa memantau dan bersedia membantu jika terdapat rakyat Malaysia yang tidak berdaftar masih berada di Ukraine.
"Setakat hari ini semua dah keluar dan tiada yang tinggal kecuali yang tidak berdaftar (dengan Kedutaan Malaysia) kita tidak tahu. Yang berdaftar telah selamat dibawa keluar.
"Kita dah berbincang pejabat kita (Kedutaan Besar) di Warsaw untuk dihubungi kalau ada timbul rakyat kita yang tidak berdaftar... (contoh) tiba-tiba mereka memohon pertolongan untuk membantu mereka... (jadi) pejabat kita di Warsaw (Poland) akan bantu.
"Saya menyeru kepada rakyat kita tidak berdaftar tetapi berada di Ukraine, sila hubungi pejabat kita di Poland," kata Ismail dalam sidang media di sini, hari ini.
Tambah Ismail, pejabat Kedutaan Malaysia di Kiev akan ditutup sementara sehingga konflik yang berlaku di Ukraine selesai.
SEMUA MENGENAI KRISIS RUSIA-UKRAINE DI SINI
Terdahulu, Ismail Sabri menyambut ketibaan tujuh daripada sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Kiev, yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Kumpulan itu yang sebelum ini terpaksa mengharungi perjalanan darat lebih 10 jam ke Warsaw, Poland, dalam usaha keluar dari Ukraine, tiba di KLIA menaiki pesawat Qatar Airways (QR848) jam 2.51 petang tadi.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan tujuh rakyat Malaysia yang merupakan kumpulan terakhir itu sudah selamat tiba, manakala empat lagi masih berada di luar negara.
"Daripada 11 warganegara Malaysia, tujuh yang balik manakala empat lagi rakyat Malaysia tidak pulang ke Malaysia tapi berada di negara lain. Dua tinggal dan berehat di Poland dan dua di Jerman," jelasnya.
Kesemua mereka terdiri daripada empat pegawai dan ahli keluarga Kedutaan Besar Malaysia di Kiev, dua ekspatriat, dan seorang pelajar.
Mereka merupakan kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Ukraine dalam misi evakuasi diketuai Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Kiev, Fadillah Daud dan Setiausaha Kedua, Aminuddin Osman.
Kumpulan itu meninggalkan Kiev melalui jalan darat pada petang 25 Februari dan memasuki Poland pada malam 26 Februari sebelum disambut dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw.
Turut dibawa keluar dalam misi itu, seorang warganegara Singapura.
Sebelum ini, 13 warganegara Malaysia telah meninggalkan Ukraine pada 14 hingga 24 Februari lalu atas nasihat Kedutaan Besar Malaysia di Kiev dan Kementerian Luar.
#krisis Rusia-Ukraine #kedutaan Malaysia di Kiev #kedutaan ditutup #Perdana Menteri
;