Krisis Rusia-Ukraine: EU setuju pelan kecemasan gas
Bernama
Julai 26, 2022 23:44 MYT
Julai 26, 2022 23:44 MYT
NEGARA-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) bersetuju dengan pelan kecemasan untuk mengurangkan penggunaan gas secara sukarela sebagai langkah mengurangkan kebergantungan bahan api Rusia dan bersiap sedia menghadapi senario jika import itu dihentikan, lapor Sputnik, memetik agensi berita Jerman dpa pada Selasa.
Pelan kecemasan itu mencadangkan pengurangan kegunaan gas asli secara sukarela sebanyak 15 peratus dari Ogos 2022 - Mac 2023, menurut laporan itu.
Menteri-menteri tenaga EU akan bersidang dalam Majlis Tenaga EU Tergempar pada Selasa, bagi mencapai persetujuan politik mengenai pelan yang dinamakan "Jimatkan Gas untuk Musim Sejuk yang Selamat".
Pada Rabu, Suruhanjaya EU mencadangkan langkah baharu yang diselaraskan terhadap negara-negara anggota sebagai satu cara untuk mengurangkan kebergantungan kepada import serta mengekang lonjakan harga.
Sasaran awal penjimatan adalah sekitar 15 peratus dan akan bermula pada 1 Ogos 2022 hingga 31 Mac 2023, dijangka memberi penjimatan 45 bilion meter padu gas mengikut rancangan.
Pada dasarnya, ketetapan itu adalah secara sukarela, tetapi jika matlamat itu gagal dicapai, ia kemungkinan diwajibkan kepada seluruh negara-negara anggota.
Cadangan Suruhanjaya Eropah akan mula berkuatkuasa selepas diluluskan oleh suara majoriti.
Beberapa negara, bagaimanapun menyuarakan bantahan mereka terhadap pengurangan itu, termasuk Itali, Poland, Hungary, Portugal, Greece dan Sepanyol.
--BERNAMA