Krisis Qatar: Malaysia harap pergolakan tidak berpanjangan - TPM Ahmad Zahid
Bernama
Jun 7, 2017 07:26 MYT
Jun 7, 2017 07:26 MYT
Malaysia berharap krisis yang berlaku di antara Qatar dan beberapa negara Teluk akan dapat diselesaikan dengan segera, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata ini kerana perpaduan adalah asas kepada kemakmuran serantau dan antarabangsa.
"Malaysia ingin bersahabat dengan semua negara dan kita masih mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.
"Ini kerana permasalahan pergolakan antara negara-negara berkenaan itu adalah permasalahan serantau," katanya pada sidang akhbar bersempena Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Ramadan di Pusat Latihan Polis, pada Rabu.
Ditanya sama ada Arab Saudi ada memberi sebarang tekanan kepada Malaysia mengenai isu pergolakan itu, Ahmad Zahid menidakkan perkara berkenaan.
Tokoh Hamas
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menafikan khabar angin yang mengatakan tiga tokoh Hamas dari Palestin yang selama ini mendapat perlindungan di Qatar berada di Malaysia.
"Saya menafikan kerana nama-nama yang kita perolehi daripada sumber risikan telah disemak di Jabatan Imigresen dan tidak ada nama-nama itu di Malaysia," katanya.
Sementara itu mengenai kes kematian pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zurfarhan Osman Zulkarnain, 21, pada Khamis lepas akibat dipukul rakan seuniversiti, Ahmad Zahid mahu siasatan dibuat secara holistik bagi mengenal pasti punca sebenar kes itu.
"Holistik dalam erti kata bukan hanya setakat perbuatan membuli tetapi mungkin ada unsur-unsur lain... pelajar-pelajar yang belajar di UPNM merupakan pelajar cemerlang keputusan akademiknya dan menjalani ujian fizikal, ujian psikometrik serta ujian IQ, tentunya mereka pelajar yang terpilih.
"Oleh yang demikian, jika ada permasalahan tentunya beberapa pendekatan harus dilakukan. Sewaktu saya mempengerusikan Majlis Angkatan Tentera ada beberapa laporan yang menyebut terdapat pelajar-pelajar yang mengambil jalan keluar daripada belajar di UPNM dengan menggagalkan diri mereka dalam peperiksaan," katanya.
Ahmad Zahid berkata jika mereka memohon keluar daripada UPNM mungkin dikenakan denda atau membayar semula elaun yang mereka peroleh atau perjanjian dengan kerajaan.
"Oleh sebab itu, mereka mencari jalan dan mungkin juga ada tekanan...saya mencadangkan supaya kajian secara menyeluruh harus dilakukan kerana mereka berada di dua alam, akademik dan ketenteraan di mana beban kerja memang banyak...beban disiplin memang tinggi jadi saya tidak mahu memberi sebarang pendapat di sini," katanya.