Krisis pelarian: Jerman letak syarat kepada Turki
Khairunnisa Kasnoon
Oktober 19, 2015 12:17 MYT
Oktober 19, 2015 12:17 MYT
Jerman berjanji untuk mempercepat proses penyertaan Turki ke dalam Kesatuan Eropah (EU), kata Canselornya, Angela Merkel.
Jelasnya, tawaran itu bagaimanapun bersyarat, iaitu Ankara harus memberi kerjasama berhubung isu pendatang dan pelarian, termasuk menerima kumpulan itu yang ditolak EU.
Kata Merkel, Jerman boleh membantu mempercepat proses prosedur perjalanan tanpa visa ke EU oleh warga Turki.
Bagaimanapun, Turki perlu bersetuju untuk menerima pendatang yang dihantar pulang EU.
"Kami berbincang berkenaan perkongsian beban dan hakikatnya Turki hanya menerima sedikit bantuan antarabangsa untuk usaha menguruskan pelarian," ujar Merkel dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu.
Kedua-dua pemimpin itu pada masa sama bersetuju, krisis pendatang hanya boleh selesai sekiranya konflik di Syria berakhir.
Sejumlah besar 2,000,000 pelarian dan pendatang berasal dari Syria yang melarikan diri dari konflik negara asal.
Dalam pada itu, Slovenia memutuskan hanya akan membenarkan 2,500 pendatang menyeberang sempadannya setiap hari, separuh daripada angka yang dipohon Croatia.
Menteri Dalam Negeri Slovenia, Bostjan Sefic menjelaskan, negara itu tidak boleh menerima sehingga 5,000 pelarian kerana Austria turut menghadkan kemasukan golongan itu kepada 1,500 orang sehari.
Majoriti pendatang dari Afghanistan, Syria dan Iraq menyeberang Croatia dan Slovenia untuk memasuki barat Eropah .
Tindakan menghadkan jumlah pelarian yang menyeberang dalam tempoh sehari, menyebabkan mereka terkandas.
Sementara itu, 1,800 pelarian akhirnya meninggalkan Croatia menuju le Slovenia.
Mereka sebelum itu terkandas kira-kira lima jam dalam keretapi selepas kerajaan Slovania tidak memberi pengesahan jumlah penerimaan pelarian berkenaan.
Rata-rata pelarian mendakwa, terlalu banyak masalah yang perlu ditanggung khususnya wanita dan kanak-kanak.
"Terlalu banyak masalah, kanak-kanak, wanita, lelaki, semuanya ada masalah. Di sini tidak cukup makanan, tidak boleh tidur dan tiada bantuan kesihatan. Ini semuanya, terlalu banyak masalah," kata Malek Zapar, pelarian dari Pakistan.
Pengalaman sama dikongsikan Sems Dzaneti dari Afghanistan.
"Terdapat berita bahawa sempadan sudah ditutup dan saya meminta supaya UNHCR dan Kesatuan Eropah, tolong berikan kemudahan dan lakukan sesuatu untuk kami,
"Kami kekurangan bantuan, kami tidak dapat lakukan apa-apa," ujarnya.
Pada Sabtu lebih 6,000 pelarian tiba di Croatia dan kebanyakan mereka terperangkap sehingga Ahad.