Krisis Myanmar: Resolusi tiga tuntutan dimuktamad di Jakarta - Hishammuddin

Astro Awani
April 20, 2021 21:13 MYT
Hishammuddin memaklumkan, Malaysia menggesa supaya keganasan yang sedang meeruncing di Myanmar dihentikan segera. - Gambar fail/Media H2O
PUTRAJAYA: Malaysia akan menuntut resolusi merangkumi tiga tuntutan penting berhubung krisis di Myanmar, berikutan rampasan kuasa oleh tentera negara itu pada Sidang Tergempar ASEAN di Jakarta, Sabtu ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan, Malaysia menggesa supaya keganasan yang sedang meeruncing di Myanmar dihentikan segera.
Antara lain katanya, pembebasan segera tanpa syarat pemimpin-pemimpin politik yang ditahan sejak 1 Februari lalu.
"Kita juga harap dengan perbincangan di Jakarta kelak, Myanmar akan setuju terima wakil-wakil daripada Pengerusi ASEAN, iaitu Brunei atau sekretariat ASEAN di Jakarta untuk melihat dan membantu Myanmar kembali kepada keadaan asal," katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra dan iftar bersama warga Wisma Putra, di sini, pada Selasa.
Hishammuddin turut menjelaskan, selain isu-isu serantau, para pemimpin tertinggi negara-negara ASEAN dijangka membincangkan tentang situasi semasa di Myanmar dalam mesyuarat itu.
Beliau turut memberitahu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah turut berkenan mengutuskan jemputan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk hadir pada Sidang Tergempar ASEAN, di Jakarta.
Menurutnya, Perdana Menteri turut menyatakan persetujuan untuk hadir di Jakarta, Sabtu ini.
Katanya, mesyuarat itu merupakan mesyuarat pemimpin ASEAN yang pertama akan diadakan secara bersemuka sejak setahun yang lalu berikutan pandemik COVID-19.
"Pun begitu saya akan ke Jakarta lebih awal, iaitu pada Khamis untuk bertemu dengan rakan setugas saya di Brunei, Datuk Seri Setia Erywan dan Indonesia, Retno Marsudi.
"Pada hari Jumaat, kesemua 10 Menteri Luar ASEAN akan mengadakan pertemuan secara bsrsemuka sebelum mesyuarat pemimpin ASEAN berlangsung pada Sabtu," katanya.
Menurutnya, Ketua Junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing juga dijangka hadir dalam Mesyuarat Tergempar ASEAN itu.
"Jeneral Min akan hadir dan kebetulan duduk sebelah kita, tetapi kita masih bertegas dengan pendirian dan prinsip yang dinyatakan Perdana Menteri sebelum ini.
"Kita percaya Perdana Menteri tidak akan berganjak daripada pendirian ini dalam mesyuarat yang bakal kita hadir pada Sabtu ini dan ia bakal dimaklumkan kepada menteri-menteri luar lain," katanya.
#Hishammuddin Hussein #krisis Myanmar #ASEAN #Indonesia #Brunei #Menteri Luar #COVID-19 #Sidang Tergempar ASEAN
;