Krisis MIC beri nilai tambah pada parti lawan, kata penganalisis

Hamzah Hamid
Februari 17, 2015 07:14 MYT
Kelemahan dalam MIC hari ini akan memberi satu nilai tambah kepada parti lawan, kata Prof Dr. Sivamurugan. - Gambar fail
Sekiranya kemelut yang melanda Kongres India Malaysia (MIC) dibiarkan berlanjutan, ia bukan sahaja boleh menjejaskan parti tersebut malah keseluruhan jentera Barisan Nasional (BN) dalam aspek meraih kepercayaan dan undi, ujar Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian.
“Saya berpendapat, kelemahan yang ada dalam MIC hari ini semestinya akan memberi satu nilai tambah kepada parti lawan. Mereka juga akan mampu untuk menarik lebih ramai penyokong kaum India.
“Mungkin (PRK) Permatang Pauh akan menjadi satu indicator kerana di situ terdapat hampir 4,500 pengundi India yang memainkan peranan. Jadi, apakah pola (perubahan undi) akan jelas terlihat di situ,” kata Sivamurugan.
Menyentuh mengenai kemelut MIC, Sivamurugan mengulas tentang beberapa usaha yang telah dicadangkan untuk menyelamatkan parti kaum India tertua dalam sejarah negara itu, seperti penubuhan sebuah sekretariat khas oleh BN.
MIC bagaimanapun perlu akur kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) jika tidak mahu menerima cadangan BN untuk membantu parti itu.
“Kalau kita perhatikan, sekretariat itu hanya berfungsi sebagai perantara untuk memastikan perkara-perkara yang tidak dapat dilihat oleh kedua-dua pihak. Ia barangkali (bertindak) menjadi orang tengah (dalam krisis) dan bukannya (mencampuri) dari aspek urus tadbir,” ujar Sivamurugan.
Beliau berpendapat, kepercayaan masih diberi kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009 untuk mengendalikan pemilihan tersebut dan jika semua pihak dalam MIC mencapai kata sepakat mengenainya, isu tersebut dapat diselesaikan.
“Masalahnya adalah, adakah (Presiden MIC, Datuk Seri) G. Palanivel bersedia untuk menerimanya,” ujar beliau yang menyatakan bahawa usul itu diterima pada peringkat awal tetapi kemudiannya berakhir dengan insiden mengeheret RoS ke mahkamah.
Sivamurugan berkata, ‘ugutan’ untuk ke mahkamah itu bukanlah jalan penyelesaian terbaik.
“Itu akan mengheret kemelut parti untuk jangka masa panjang sehingga melewatkan proses pemulihan kepercayaan.
Sivamurugan juga berpendapat, tidak perlu bagi MIC untuk menarik diri atau ‘keluar’ daripada menjadi parti komponen BN buat sementara hanya kerana untuk menyelesaikan konflik dalaman mereka.
“Jika mereka keluar dari BN, walaupun sementara, itu juga akan memberikan impak yang besar. Mereka akan kehilangan wakil dalam Kabinet dan sukar terlibat dalam proses dasar hanya kerana mahu member tumpuan kepada isu kepimpinan.
“Saya rasakan (usaha) masih boleh dilaksanakan jika kedua-dua pihak duduk semeja untuk menyelesaikan perkara yang (sekarang ini) tidak dipersetujui seterusnya mencari penyelesaian yang sebenar terutamanya dalam hal jawatankuasa pemilihan,” ujar beliau.
Tambah Sivamurugan, krisis MIC sekarang ini memberi beberapa petanda bahawa pengaruh beralih dan berpihak kepada Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, maka Presiden (Palanivel) perlu membuat keputusan yang strategik demi memastikan hal reputasi dan kredibiliti beliau tidak terjejas dengan lebih teruk.
#kemelut #MIC #Palanivel #parti #politik #Sivamurugan Pandian
;