Krisis Laut Merah: Kerajaan tidak terima maklum balas negatif dari pemain industri - Loke

Bernama
Januari 19, 2024 21:56 MYT
Anthony berkata pihaknya akan terus memantau situasi berkenaan dan pemain industri yang terlibat dalam sektor tersebut dari semasa ke semasa. - Gambar fail/Astro AWANI
PELABUHAN KLANG: Kementerian Pengangkutan setakat ini tidak menerima sebarang maklum balas negatif daripada pihak industri import dan eksport berhubung isu kenaikan kos penghantaran berikutan krisis di Laut Merah.
Menterinya Anthony Loke berkata bagaimanapun pihaknya akan terus memantau situasi berkenaan dan pemain industri yang terlibat dalam sektor tersebut dari semasa ke semasa, bagi mengenal pasti jenis mitigasi yang diperlukan untuk membantu mereka.
"Saya berpendapat sebahagian pemain industri yang disebut dalam media, (mereka) boleh ditangani buat masa sekarang.
"Kami harap ini hanya untuk sementara waktu kerana situasi di sana sangat tegang, dan saya rasa terdapat usaha dari negara lain untuk cuba mendapatkan kawalan keselamatan yang lebih baik di sana," katanya.
Loke berkata demikian selepas majlis perasmian pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama negara, kapal Costa Serena di Port Klang Cruise Terminal (PKTC) di sini hari ini.
Pada 15 Jan lepas, Bernama melaporkan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa syarikat perkapalan negara untuk bersedia menghadapi gangguan berpanjangan di Laut Merah, berikutan krisis keselamatan yang semakin buruk di rantau itu sehingga memaksa syarikat kapal melencongkan kapal masing-masing ke laluan yang lebih jauh.
-- BERNAMA
#syarikat perkapalan #Laut Merah #Palestin #Malaysia
;