Krisis Laut China Selatan, perangi dadah antara perbincangan utama Duterte dan Dr Mahathir
Nuradilla Noorazam
Julai 14, 2018 21:41 MYT
Julai 14, 2018 21:41 MYT
Krisis Laut China Selatan yang melibatkan kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat bakal menjadi isu utama yang dibincangkan Presiden Filipina Rodrigo Duterte dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatan Duterte ke Malaysia bermula esok.
Penganalisis Geostrategis Dr Azmi Hassan berkata isu keselamatan di perairan Sulu adalah isu penting bagi kedua-dua negara.
“Saya pasti isu keselamatan adalah antara yang akan dibincangkan oleh pemimpin dua negara ini terutamanya apa yang berlaku di perairan Sulu iaitu di Selatan Mindanao dan Sabah Timur. Mungkin tidak ada perubahan besar yang akan berlaku namun ia boleh merapatkan kerjasama antara negara bagi memastikan laluan itu selamat.
“Buat masa sekarang memang terdapat rondaan tiga negara, Malaysia, Indonesia dan Filipina.
“Jangan lupa juga Dr Mahathir sewaktu lawatannya ke Jepun memberitahu kegusarannya mengenai kapal perang asing yang berada di laut China Selatan. Filipina juga terlibat dan pasti Dr Mahathir akan membincangkan isu ini bagi mendapatkan sokongan Duterte bagi mengurangkan kehadiran kapal perang asing di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Sabtu.
Bulan lalu, delegasi China telah bertemu dengan pentadbiran Duterte untuk membincangkan isu pertikaian di Laut China Selatan. Kedua-dua negara pada waktu itu telah bersetuju untuk menyelesaikan isu tersebut melalui semangant consensus dengan cara dialog dan perbincangan.
Pertemuan tersebut dibuat beberapa hari selepas Manila mengusulkan bantahan terhadap Beijing berhubung aset yang diletakkan di Kepulauan Spratly dan gangguan maritim dibuat Tentera Laut serta Pengawal Pantai China terhadap Tentera Laut Filipina.
Azmi turut menyebut isu tuntutan Sabah oleh beberapa pihak di Filipina yang disokong Duterte sewaktu kempen pilihan raya presidennya dahulu.
“Saya tidak akan terkejut jika isu ini dibawa oleh Dutete untuk dibincangkan bersama Dr Mahathir.
“Selain itu isu keselamatan di Mindanao seperti apa berlaku di Marawi empat bulan lepas, jika tidak dibendung bukan sahaja memberi kesan pada Filipina tetapi juga kepada Malaysia, terutamanya Sabah.
“Pertemuan ini akan berkisar isu keselamatan di Selatan Mindanao yang melibatkan militan Abu Sayyaf,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr Linda Lumayag berkata Duterte juga dijangka akan berkongsi kejayaan usaha memerangi dadah di Filipina.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang amat dekat dengan Filipina mempunyai peranan dalam membantu negara itu menghapuskan jenayah dadah seratus peratus. Ini kerana Malaysia mempunyai laluan seludup dan sebagainya dan saya tidak terkejut jika Dutete mahukan kerjasama Malaysia bagi membanteras perkara ini.
“Pada masa sama, boleh terdapat perkongsian maklumat dan pengalaman hasil perang dadah Duterte yang mungkin boleh dipelajari Malaysia dalam usaha kerajaan membanteras dadah,” katanya.
Presiden Filipina Rodrigo Duterte dijangka akan membuat kunjungan rasmi ke Malaysia bermula esok (15/7) sehingga Isnin (16/7). Beliau akan menonton perlawanan tinju di antara peninju legenda Filipina, Manny Pacquiao dan juara welterweight dunia WBA, Lucas Matthysse.