Krisis Duta Enclave: Kerajaan sedia beri pampasan, tetapi tidak mudah mengalah - PM Anwar
Firdaus Azil
Oktober 29, 2024 12:35 MYT
Oktober 29, 2024 12:35 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia membayar nilai pampasan yang setimpal kepada Semantan Estate (1952) Sdn Bhd (SESB), susulan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pengambilalihan tanah tersebut tidak sah.
Namun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berpegang kepada prinsip pengambilalihan tanah tersebut adalah demi kepentingan rakyat, bukannya untuk keuntungan.
Atas sebab itu, beliau menegaskan, kerajaan akan terus berunding dengan pihak SESB supaya ada penyelesaian yang baik untuk kedua-dua pihak, selain memutuskan untuk mengkaji pindaan terhadap Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) supaya kepentingan awam dapat diutamakan pada masa akan datang.
“Tetapi sekarang ini, keputusan mahkamah belum muktamad, kita masih merayu soal keputusan mahkamah untuk pindah milik. Jadi, saya serah kepada Jabatan Peguam Negara. Langkah rundingan diteruskan.
"Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah mengadakan dua mesyuarat, untuk memberi laluan tanah yang belum dibangunkan diserahkan (kepada SESB), dengan syarat ada kerjasama dengan mana-mana syarikat kerajaan.
“Saya sebut di dalam Dewan, kita kena ingat keputusan kita (kalau) mengalah dalam kes ini dengan mudah, bermakna kita membuka ruang, (bagaimana) hak rakyat, terutamanya kampung-kampung Melayu di bandar, kenapa tak kaitkan?
“Kalau serah dengan mudah, seperti diputuskan Jemaah Menteri (pada pentadbiran) lalu, saya tak fikir ia akan selesaikan masalah… kita harus tegas. Sekarang ini, satu inci tanah pun tak diambil menyebabkan pembangunan swasta. Semuanya (untuk) masjid, institusi dan kompleks kerajaan,” tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) yang mahu mengetahui tindakan susulan kerajaan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 23 Okt lepas mengarahkan kerajaan memulangkan kira-kira 106.54 hektar tanah berhampiran Jalan Duta tersebut.
Ahmad Shahrir sebelum itu membenarkan permohonan pelikuidasi untuk memindahkan tanah yang digelar sebagai Duta Enclave di Mukim Batu, kepada SESB, sekali gus menguatkuasakan perintah mahkamah 2009 yang mewajibkan pemindahan tanah itu kepada pelikuidasinya.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, beliau memohon agar diberikan ruang kepada kerajaan dan Jabatan Peguam Negara, terutamanya dalam meneliti aspek perundangan supaya kepentingan awam tidak dikorbankan.
“Kalau kompromi hari ini, (sebahagian besar) tanah di bandar akan terjejas. (Melainkan) kalau kita sanggup bayar RM50 hingga RM60 bilion. Sebab itu, kita bagi pihak Jemaah Menteri, tak setuju.
“Kita terus berunding dan jelas kepada SESB, mereka akan dapat pampasan lebih daripada RM1.4 juta, tetapi tak boleh anggap perkara ini mudah. Ini bukan saja isu teknikaliti, tetapi prinsip pembangunan negara dan kepentingan awam,” tegasnya lagi.