Krisis diplomatik Qatar tidak jejas penghantaran jemaah Malaysia - Tabung Haji
Astro Awani
Jun 7, 2017 09:47 MYT
Jun 7, 2017 09:47 MYT
Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memberi jaminan konflik yang berlaku di Asia Barat tidak akan menjejaskan urusan keseluruhan 33,000 jemaah yang bakal melaksanakan ibadah haji pada tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Tabung Haji akan tetap meneruskan penghantaran jemaah sebagaimana yang dijadualkan.
Menurut Datuk Seri Abdul Azeez, segala aspek gerak kerja termasuk perjalanan serta perkara berkaitan sudah diatur dengan rapi .
“Kita akan teruskan bawa jemaah kita pergi ke Mekah dan Madinah, dan kita akan kawal rapi semua gerak kerja yang kita sudah susun atur selama ni.
“Kami tidak nampak ada masalah apa apa setakat ni,” kata Datuk Seri Abdul Azeez selepas program ziarah kasih Ramadan al-mubarak 2017 Parlimen di Kuala Nerus petang Selasa.
Menurut beliau, bakal jemaah tidak perlu bimbang dengan tindakan beberapa negara termasuk Arab Saudi yang memutuskan hubungan dengan Qatar, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap ibadah .
Katanya, Tabung Haji mempunyai pengalaman luas dalam melaksanakan tanggungjawab dan sentiasa memantau keselamatan setiap bakal jemaah.
Tabung Haji juga sudah mengeluarkan surat kelulusan kepada jemaah, dengan penerbangan pertama dijangka berlepas pada 24 Julai manakala penerbangan terakhir pada 24 Ogos depan.
Pada Isnin, lima negara Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Yaman mengumumkan memutuskan hubungan dengan Qatar atas alasan negara itu menyokong keganasan dan bersekongkol dengan Iran.