Krisis Asia Barat: Malaysia perlu gerakkan badan dunia - PPMM

Astro Awani
Mei 14, 2021 16:39 MYT
Segala usaha perlu digerakkan demi menjaga kesucian salah satu daripada tiga masjid suci Islam daripada terus dicemari dan dikotori oleh kebobrokan dan kekejaman rejim Zionis Israel. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyeru kerajaan untuk bersatu padu bersama negara-negara Islam lain di dalam membela nasib rakyat Palestin yang ditindas termasuk episod pengusiran di Sheikh Jarrah dan pencerobohan Masjid Al-Aqsa.
Timbalan Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki menegaskan Palestin perlu kemerdekaan penuh dan ditadbir secara bebas oleh orang Islam.
Ujarnya, segala usaha perlu digerakkan demi menjaga kesucian salah satu daripada tiga masjid suci Islam itu daripada terus dicemari dan dikotori oleh kebobrokan dan kekejaman rejim Zionis Israel.
"PPMM menggesa Kementerian Luar terus membantu rakyat Palestin melalui saluran antarabanga di dalam terus memberikan tekanan kepada rejim Zionis untuk menghentikan pembunuhan dan pengeboman ke atas orang awam terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang terus meningkat dan tidak berdosa.
"Malaysia perlu menggerakkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan semua kesatuan negara lain untuk memberi tekanan kepada Israel.
"Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga perlu memulakan prosiding keganasan Israel terhadap Palestin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PPMM pada masa sama, ujarnya menghargai setiap tindakan rakyat Malaysia yang membantah kekejaman Zionis Israel ini walaupun sekadar menulis di media sosial, menyebarkan kempen anti-Zionis Israel ataupun memberi bantuan kewangan.
#Kementerian Luar #rakyat Malaysia #media sosial #mahkamah #jenayah #Kanak-kanak #kerajaan #keganasan #PBB #Palestin #Israel
;