Krisis air Selangor: Satu penyelesaian menang-menang?

Bernama
Oktober 23, 2012 08:51 MYT
Ketika kerajaan persekutuan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelak kemungkinan berlaku krisis kekurangan bekalan air, termasuk membuat perancangan membina loji rawatan air Langat 2, kerajaan negeri Selangor pula membuat hal dengan memberi beberapa syarat.
Walaupun kedua-dua pihak sering berjumpa untuk berbincang tentang perkara yang amat penting itu, namun tiada sebarang kemajuan dicapai berikutan pendirian yang diambil kerajaan Selangor.
Dalam menghadapi keadaan ini, kerajaan persekutuan mengambil keputusan untuk tidak membiarkan rakyat menghadapi kesulitan dan sekali gus, bertindak segera untuk memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan. Tawaran tender bagi membina loji rawatan air Langat 2 telah dikeluarkan dan ditutup pada 20 Sept lalu.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu Air Selangor, mengumumkan Sabtu lepas bahawa kerajaan persekutuan akan meneruskan rancangannya untuk melaksanakan projek Langat 2 demi kesejahteraan rakyat.
Susulan kepada pengumuman Muhyiddin itu, kerajaan negeri Selangor mengulangi pendiriannya untuk meminta Majlis Perbadaran Kajang (MPKj) mengambil tindakan terhadap keputusan kerajaan persekutuan meneruskan rancangannya membina loji rawatan air Langat 2.
Kerajaan negeri Selangor tidak mengeluarkan perintah pembangunan bagi pembinaan loji itu kerana berpendapat krisis air tidak akan berlaku dan isu air tanpa hasil atau kebocoran saluran paip, perlu diatasi terlebih dahulu.
Bagaimanapun, satu penyelesaian bersifat menang-menang terhadap krisis air mungkin tercapai. Sumber yang rapat dengan projek Langat 2 berkata penyelesaian boleh dicapai dengan menyerahkan operasi merawat air dan kontrak penyenggaraan kepada sebuah entiti milik kerajaan negeri Selangor, sama seperti yang dilakukan bagi loji rawatan air Sungai Labu.
Loji rawatan air Sungai Labu, yang siap pembinaannya akhir tahun lepas, dilaksanakan di bawah pakej rangsangan ekonomi kedua oleh kerajaan persekutuan dengan kos kira-kira RM84 juta.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui membayangkan kerajaan persekutuan tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor.
Chin berharap kerajaan negeri Selangor dapat melihat manfaat mengeluarkan perintah pembangunan bagi pembinaan loji rawatan air Langat 2 kerana ia mampu menangani ramalan bahawa akan berlaku peningkatan penggunaan air oleh isi rumah dan industri di Lembah Klang.
Chin berkata tender bagi projek loji rawatan air Langat 2 dijangka dimuktamadkan pada November dan kerajaan persekutuan sentiasa bersikap terbuka dalam mencari penyelesaian demi kesejahteraan rakyat.
Pihak berkuasa di Selangor juga menuntut agar langkah diambil untuk menyusun semula empat syarikat yang terlibat dengan penyelenggaraan dan operasi loji rawatan air sedia ada dan sebuah syarikat yang terlibat dengan penyaluran air, dilaksanakan terlebih dahulu, sebelum kelulusan diberi bagi pembinaan loji rawatan air Langat 2 oleh kerajaan persekutuan.
Memandangkan sesetengah pihak berkenaan memegang konsesi jangka panjang hingga melebihi tahun 2020, rundingan mungkin berlarutan dan sekali gus akan menambah kelewatan untuk mencapai penyelesaian terhadap krisis air yang diramal berlaku pada 2016.
Mereka yang menentang pembinaan loji rawatan air Langat 2, yang dianggar melibatkan kos RM6.2 bilion, termasuk bagi pemasangan paip untuk menyalurkan air dari Pahang, mencadangkan agar air disalurkan dari Tasik Kenyir, Terengganu.
Sekiranya cadangan ini diterima, kos projek berkenaan dianggarkan boleh mencapai RM11.3 bilion.
#Hulu Langat #Membran #Muhyiddin #Selangor #Timbalan Perdana Menteri
;