Krisis air 20 tahun di Felda Sungai Retang berakhir
Azizah Shafiei
Januari 18, 2022 18:55 MYT
Januari 18, 2022 18:55 MYT
JERANTUT: Seramai 700 penduduk Felda Sungai Retang di sini, sudah boleh menarik nafas lega apabila masalah bekalan air yang dihadapi mereka selama 20 tahun berakhir berikutan dua telaga tiub Wakaf Air siap dibina di perkampungan itu.
Seorang penduduk, Ahmad Surin Sidek, 62, berkata, masalah iar di kawasan itu sudah berlarutan dan bertambah kronik setiap kali menjelang musim perayaan dan cuti persekolahan
Menurutnya, sekitar 100 buah rumah di sini kerap berhadapan dengan situasi itu sehingga menyukarkan urusan seharian mereka.
“Bila sudah ada Wakaf Air ini, keadaan air di rumah sudah bertambah baik. Kami sudah tidak perlu lagi risau dengan masalah air.
“Kalau tidak, bila anak dan cucu balik masa musim cuti sekolah, kami akan berhadapan dengan masalah kerana kapasiti pengguna bertambah,” katanya.
Sementara itu, Mat Diah Nasir, 64, berkata, dia merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak yang terlibat menjayakan projek Wakaf Air di felda berkenaan.
“Kami penduduk di Peringkat 4 sering menghadapi dengan masalah air kerana kedudukan perumahan ini yang lebih tinggi berbanding kawasan lain. Jadi, air memang susah nak naik.
“Tapi lepas siapnya Wakaf Air ini, saya lega sebab masalah air selesai. Saya tak perlu risau nak tadah air setiap hari kerana kadang-kadang air mengalir terlalu kecil," katanya.
Mat Diah berkata, Wakaf Air itu berfungsi sepenuhnya sekiranya bekalan air terputus di kawasan terlibat selain meningkatkan tekanan air untuk penggunaan isi rumah.
Ia berikutan pemasangan dua telaga tiub Wakaf Air di felda ini di mana penyerahan kepada wakil penduduk telah disempurnakan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Isnin.
Sebelum ini, sebanyak RM2 juta peruntukan dari dana Tabung Wakaf Air bakal dibelanjakan tahun bagi projek Wakaf Air seluruh negara.