Krisis Afghanistan: NGO kemanusiaan perlu dana konsisten - Mercy Malaysia
Rahimah Abdullah
Ogos 17, 2022 04:45 MYT
Ogos 17, 2022 04:45 MYT
KUALA LUMPUR : Sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan memerlukan dana yang konsisten dalam menyalurkan bantuan kepada Afghanistan yang sedang bergelut dengan krisis kemiskinan.
Exco Mercy Malaysia, Norazam Ab Samah berkata, pembangunan kemudahan kesihatan di negara ditadbir Kerajaan Taliban itu menjadi antara keperluan utama yang perlu dilakukan pada ketika ini.
"Sebenarnya (berdasarkan) pengalaman Mercy yang lama, lebih 10 tahun di Afghanistan, perkara yang paling besar ialah dana.
"Dana yang konsisten membolehkan sesuatu NGO menjalankan sesuatu program dengan baik. Namun, apabila NGO yang besar pun keluar, tinggalkan satu-satu hospital.
"Apabila kami datang, hospital ini ada 100 katil yang memang didanai, sehingga ada pekerja seramai 450 orang.
"Selepas NGO ini keluar, sebab tidak ada dana khusus lagi, tinggal 45 orang sahaja pekerja. Jadi, mereka tutup bahagian nutrition kanak-kanak. Ini yang kita risau," katanya memberi contoh mengenai keadaan di Afghanistan.
Norazam berkata demikian semasa menjadi tetamu Agenda AWANI pada Rabu.
Dalam pada itu, Afghanistan katanya, memerlukan peralihan teknologi dan teknik-teknik terkini agar dapat dibangunkan semula setelah sekian lama mengalami kejatuhan akibat peperangan.
Jelas beliau, teknologi baharu itu penting untuk masa depan Afghanistan dan sepatutnya sudah mula dibawa masuk ke negara berkenaan.
"Apa yang nak kami lakukan buat masa sekarang ini, perkara yang paling besar adalah transfer of knowledge (memindahkan ilmu pengetahuan), transfer teknologi.
"Semua perkara-perkara berkaitan teknologi terkini, baik dari segi ilmu, teknik-teknik yang terkini, sepatutnya sudah mula masuk.
"Kita boleh kirimkan bantuan itu, namun kita nak ilmu ini disampaikan dengan cepat, sebab selepas COVID-19, banyak yang kita belajar secara dalam talian," ujarnya.