Kren tumbang: Perkhidmatan komuter, ETS kembali pulih

Bernama
Disember 14, 2023 10:10 MYT
Tren komuter pertama bernombor 2301 telah memulakan operasi seawal 5.05 pagi tadi dari stesen Tanjung Malim ke KL Sentral. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kesemua perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Komuter Lembah Klang bagi laluan Tanjung Malim-KL Sentral-Tanjung Malim dan tren elektrik (ETS) yang terjejas akibat sebuah kren binaan patah antara Rawang dan Kuang, dua hari lepas telah kembali pulih.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan tren komuter pertama bernombor 2301 telah memulakan operasi seawal 5.05 pagi tadi dari stesen Tanjung Malim ke KL Sentral.
"KTMB memohon maaf sekali lagi atas kejadian yang berlaku. Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama penumpang yang terkesan dan menghargai perhatian serta pemahaman anda," menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di 03-2267 1200 atau mendapatkan maklum balas segera melalui Messenger Facebook rasmi KTMB.
-- BERNAMA
#KTMB #ETS #kren tumbang #komuter
;