Kren tumbang di MRR2, seorang dilaporkan cedera

Astro Awani
Februari 26, 2018 12:03 MYT
Buat masa ini, hanya lorong kanan MRR2 yang dibuka untuk pengguna lebuh raya tersebut. - Gambar Pembaca Astro AWANI
Sebuah kren tumbang di tapak pembinaan jalan berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) kira-kira jam 9 pagi tadi.
Kejadian ini menyebabkan kesesakan empat kilometer berlaku dari arah Hulu Klang ke Ampang.
Buat masa ini, hanya lorong kanan MRR2 yang dibuka untuk pengguna lebuh raya tersebut.
Portal berita Bernama melaporkan seorang lelaki mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
Astro AWANI difahamkan lelaki yang tercedera itu mangsa berusia 40-an dan dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan menerima rawatan di Hospital Ampang buat masa ini.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Ampang Razali Budin dipetik Bernama berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 10.12 pagi dan tujuh anggota digegaskan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
Menurutnya, sebuah kren rangkak yang sedang mengangkat cerucuk selongsong bagi kerja pembinaan di kawasan tinggi bersebelahan MRR2 (arah Ampang) telah hilang imbangan dan jatuh merentangi laluan utama MRR2.
"Ini menyebabkan 'crane boom' telah merentangi laluan utama MRR2 (arah Ampang) dan menutup dua daripada tiga lorong (lorong perlahan tengah). Keadaan ini menyebabkan gangguan trafik," katanya.
#Ampang #cedera #Hulu Klang #kren #lalu lintas #lebuhraya lingkaran tengah 2 #mrr2 #tumbang
;