Kreativiti dan tanggungjawab diperlukan untuk berjaya, kata Jimmy Choo

Bernama
Ogos 19, 2022 05:00 MYT
Mendiang Puteri Diana dan ahli keluarga diraja yang lain adalah antara pelanggan terkenal ikon fesyen antarabangsa itu. - Foto Instagram/@profjimmychoo
KUALA LUMPUR: Komuniti perniagaan dan usahawan memerlukan kreativiti dan tanggungjawab untuk berjaya terutamanya untuk mengharungi masa sukar, kata iProfesor Datuk Dr Jimmy Choo, OBE (Honorary Order of the British Empire).
Ratu Elizabeth II telah mengurniakan anugerah OBE kepada Choo atas sumbangannya kepada industri fesyen.
Pereka kasut antarabangsa itu berkata kebanyakan perniagaan atau usahawan yang berjaya tidak pernah berputus asa dengan idea mereka terutamanya apabila berhadapan dengan cabaran dan mereka sentiasa mencari pendekatan inovatif untuk mengatasi halangan.
Beliau berkata usahawan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan ekonomi dan berinovasi serta menerima kemajuan teknologi supaya mendapat perhatian daripada pelanggan.
"Jika anda fikir perniagaan anda bakal menuju kegagalan maka anda mesti mengetahui sebabnya. Cuba ubah pendekatan, model perniagaan atau pelan anda untuk menjadikannya berkesan.
"Sekiranya ada sesuatu yang anda tidak tahu, anda harus bertanya kepada orang ramai. Jika anda berdiam diri, anda tidak akan belajar," katanya pada program bual bicara Bernama TV - "The Nation" pada Jumaat.
Beliau menegaskan pemilik perniagaan perlu mempunyai perkara baharu untuk dipersembahkan kepada pelanggan kerana strategi pemasaran terbaik adalah promosi mulut ke mulut.
"Lakukan perancangan dan ambil berat terhadap pekerja anda dan apa yang paling penting, bertanggungjawab terhadap kesejahteraan mereka. Mengambil kira pendapat pekerja akan membantu pemilik perniagaan menunjukkan kepada para pekerja bahawa majikan menghargai mereka (pekerja)," katanya.
Seterusnya ia akan membolehkan syarikat itu dihormati dalam perniagaan, kata Choo.
Mendiang Puteri Diana dan ahli keluarga diraja yang lain adalah antara pelanggan terkenal ikon fesyen antarabangsa itu.
Pada September tahun lepas, Choo melancarkan sekolah fesyen London bernama 'JCA London Fashion Academy', sekolah itu menawarkan kursus reka bentuk fesyen yang menggabungkan pengajaran terkini dalam reka bentuk kontemporari dengan kemahiran keusahawanan yang diperlukan untuk menyediakan dan memacu jenama fesyen yang berjaya.
Beliau berkata pendidikan amat penting kerana seseorang menimba banyak ilmu menerusi pendidikan, ia juga dapat membangunkan kemahiran baharu.
-- BERNAMA
#Jimmy Choo #keusahawanan #pereka kasut #Ratu Elizabeth II
;