Kreatif! Beg tote dari jeans terpakai jana pendapatan penduduk Bongawan

Hasimi Muhamad
Januari 10, 2020 09:35 MYT
Tidak menelan kos yang tinggi untuk menghasilkannya, beg tote itu mampu disiapkan dalam masa yang begitu singkat iaitu sekitar 30 minit. - Astro AWANI/HASIMI MUHAMAD
SIAPA kata pakaian terpakai perlu berakhir di tong sampah atau sebagai alas kaki?
Dengan kemahiran dan kreativiti yang dimiliki, kain denim daripada jeans terpakai juga mampu memberikan sumber pendapatan kepada masyarakat khususnya kaum hawa.
Itu yang dilakukan sekumpulan wanita di Bongawan, Sabah, apabila hampir 20 orang hadir menyertai latihan menjahit bagi menghasilkan beg tote daripada jeans dan pakaian terpakai.
Walaupun tidak mempunyai ilmu rekaan yang tinggi, namun pelbagai corak dengan kombinasi warna yang menarik, telah berjaya dihasilkan oleh peserta.
Noorhaliza Afzan Ibrahim, 37 tahun, berkata, pada awalnya berasa kekok kerana tidak pernah menyertai mana-mana kelas menjahit sebelum ini, namun dia tidak berdepan kesukaran untuk menyiapkan beg tote dari jeans terpakai itu.
"Betul, pada saya dengan ada (kelas menjahit) ini, ia boleh membantu kita menjana pendapatan sebagai suri rumah tangga.
"Rasanya memang senang sahaja sebab apa cuma perlu gunting dan jahit biasa. Ia senang dipelajari," katanya kepada Astro AWANI, pada Khamis.
Tidak menelan kos yang tinggi untuk menghasilkannya, beg tote itu mampu disiapkan dalam masa yang begitu singkat iaitu sekitar 30 minit.
Selain dihasilkan dalam pelbagai warna dan tahan lasak, Rosnia Mohd Jidi, 46 tahun, berkata dengan kecanggihan terknologi, dia boleh menggunakan kemudan itu untuk mempromosikan produknya.
"Kami seronok sebab dapat menimba ilmu dan pengalaman, selain berjumpa dengan kawan-kawan baharu.
"Perancangan itu memang kita mahu menambah pendapatan. Sekarang ini dengan kemudahan yang ada dari segi media sosial, kita boleh promosikan produk," ujarnya.
Bagi ibu tunggal, Aisah Md Salim, 46 tahun, beg tote yang dihasilkannya pula tidak perlu melalui proses jahitan, sebaliknya hanya menggunakan teknik simpul dan ikat.
Beg tote serba guna itu kelihatan begitu trendy dan tidak keterlaluan jika dikatakan ia setanding dengan beg yang berada di pasaran, selain senang dibawa kemana sahaja.
"Saya tidak percaya baju ini (pakaian terpakai) boleh mengeluarkan hasil untuk menjana pendapatan saya, dan ia agak mudah untuk dihasilkan.
"Beg ini boleh digunakan untuk menyimpan barang-barang dan boleh dibawa ke pasar raya untuk meletak barang, dan tidak lagi menggunakan plastik," katanya.
#beg tote #denim #jeans #Kimanis Memilih #kreativiti #latihan menjahit #media sosial #pakaian terpakai #PRK Kimanis #wanita
;