KRC: Jalan dua lorong akan dibina dari Pokok Sena ke Padang Terap
Bernama
Mei 12, 2022 04:43 MYT
Mei 12, 2022 04:43 MYT
ALOR SETAR: Jalan dua lorong dari Pokok Sena ke Padang Terap akan dibina bagi melengkapkan lagi projek Kedah Rubber City (KRC) yang bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan di Kedah.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek yang menelan kos kira-kira RM600 juta itu pada dasarnya dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk disegerakan dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Kita (kerajaan negeri) sudah pun menghantar surat kepada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kerja Raya (KKR) pada minggu pertama Ramadan lalu, dan kos itu atas penilaian KKR sendiri sebelum ini.
"Saya belum dapat jawapan tapi pada dasarnya dipersetujui Perdana Menteri semasa perasmian KRC pada Februari lalu...dan berharap KRC akan jadi kawasan industri baharu kerana dalam perancangan kerajaan negeri, kita mahu bangunkan kawasan yang masih ketinggalan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sesi Taklimat Umum Menteri Besar Bersama Mahasiswa di Dewan Sri Mentaloon di sini pada Khamis.
Muhammad Sanusi yakin kelulusan projek jalan itu tidak akan mengambil masa lama kerana turut meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Anggota Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk mengambil tindakan susulan agar projek itu menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan.
"Datuk Seri Mahdzir pun beritahu bahawa beliau akan bantu, berkemungkinan pada bulan ini juga kita akan dapat jawapan sebab Kerajaan Persekutuan sudah hantar senarai kepada kita ada 12 senarai projek di Kedah yang mana paling utama, saya kata semua 12 itu penting dan utama.
"Apabila ada projek KRC, jalan sangat penting untuk industri, ketika itulah lori besar, treler akan lalu...ibu bapa pula akan hantar anak ke sekolah, jalan akan jadi sibuk kerana jalan itu juga boleh pergi ke Padang Sanai dan Universiti Utara Malaysia (UUM)," katanya.
Pada 7 Februari lepas, Perdana Menteri merasmikan projek KRC yang diyakini mampu menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi negara.
KRC akan menjadi taman perindustrian getah khusus mesra alam pertama di Malaysia yang dijangka mampu mengekalkan pertumbuhan semasa Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Kedah khasnya.
-- BERNAMA