Kraftangan Malaysia tawar pelbagai produk untuk cenderamata TMM2020
Wan Syamsul Amly
November 8, 2019 16:00 MYT
November 8, 2019 16:00 MYT
Produk kraf Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) menawarkan pelbagai pilihan kepada agensi kerajaan, swasta, perhotelan, pemain industri pelancongan untuk dijadikan cenderamata.
Pengarah Kanan Bahagian Rekaan dan Penyelidikan Kraftangan Malaysia, Yusof Abd Rani menjelaskan, semua produk itu adalah hasil pereka kraf seluruh negara melibatkan lima bidang utama.
"Ia adalah bidang tekstil, logam, seramik, hasil rimba dan aneka kraf. Produk ini dibuat untuk tujuan khas TMM2020 yang kita fokus kepada pelancong dalam dan luar negara selain produk itu terbahagi kepada segmen korporat, premium dan juga cenderahati," katanya semasa sidang media selepas program previu produk kraf TMM200 di sini, pada Jumaat.
Previu turut mengetengahkan produk daripada 14 wakil dari perkampungan kraf dan pelukis yang bernaung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Selain itu turut diadakan taklimat berkaitan rekaan dan penghasilan produk kraf mengikut bidang tertentu.
Dalam pada itu kata Yusof, semua produk kraf sudah ditapis kualiti, proses pengeluaran selain boleh dikeluarkan dalam kuantiti yang banyak.
Jelasnya, usaha mencari usahawan kraf di kawasan desa turut dilakukan pihaknya.
"Program pembangunan produk ada peringkatnya, pertama kita membuat reka bentuk dari pereka Kraftangan Malaysia, kemudian kita hendak ilhamkannya menjadi prototaip, kita jemput usahawan yang ada kredibiliti mencipta untuk bersama. Hasilnya, prototaip yang kita hasilkan. mereka tidak akan canggung sangat.
"Kita juga ada bidang kedua iaitu kraf komuniti hasil usahawan kraf di kampung, terutama Sabah, Sarawak dan semenanjung," ujarnya.
Dalam pada itu kata Yusof, Kraftangan Malaysia turut menyasarkan 1,500 produk kraf baharu untuk ditawarkan kepada pelancong tempatan dan antaranbangsa selain penglibatan daripada semua usahawan seluruh negara.