KR1M 2.0 bukan produk bermusim- TPM
Rahimah Abdullah
Mac 21, 2018 14:39 MYT
Mac 21, 2018 14:39 MYT
Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) yang distruktrur semula sebagai KR1M 2.0 bukan produk yang bermusim dan akan dikekalkan pada masa akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedai harga patut itu akan terus diperluaskan ke seluruh negara.
"Apa yang dilakukan KR1M 2.0 dan jualan sentuhan rakyat, ia bukan hanya satu langkah proaktif dan ia meliputi tentang dasar kabotaj di mana penyelarasan harga dari segi pengurangan kos pengangkutan untuk barangan dijual di Sabah dan Sarawak.
"Tujuan KPDNKK membuat pelarasan harga dengan menyerap kos pengangkutan ini akan menyamaratakan harga jualan untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya dalam sidang media selepas merasmikan KR1M 2.0 kategori kedai serbanika di KK Super Mart, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, hari ini.
Sehingga kini katanya, KR1M 2.0 di Machang, Kelantan mencatatkan hasil jualan tertinggi, diikuti kedua tertinggi di Bagan Datuk.
Tambah beliau, KR1M 2.0 memberi kesan sangat baik kepada rakyat apabila berjaya menawarkan harga barangan di bawah harga pasaran.
"Oleh kerana ia satu usaha yang bukan memerlukan sebuah syarikat sahaja mengendalikan KR1M 2.0 ini, maka kita dapati sudah pasti keberkesanan yang cukup dapat dirasai rakyat dan kita lihat dengan langkah itu kos pengangkutan dan margin keuntungan telah dikurangkan.
"Kita telah menghapuskan dasar kabotaj yang beri beban di Sabah dan Sarawak. Dengan kerjasama KPDNKK dan NBOS, telah memberi kesan positif kepada rakyat," jelas beliau.
Sehingga kini, terdapat kira-kira 52 kedai KR1M 2.0 yang beroperasi sejak Februari lalu.
KR1M 2.0 meliputi tiga kategori dan secara berfasa iaitu konsep pasar raya, konsep serbaneka, dan konsep kedai runcit biasa.
#KPDNKK
#KRIM2 0
#Malaysia
#Media
#menteri
#Perdana Menteri
#rakyat
#rakyat Malaysia
#Terminal Bersepadu Selatan
#Timbalan Perdana Menteri
#TPM
#Zahid Hamidi