KPWKM tawar khidmat kaunseling, kursus kawal kemarahan
Astro Awani
Ogos 16, 2013 15:37 MYT
Ogos 16, 2013 15:37 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ada menyediakan khidmat kaunseling buat mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan mengalami trauma akibatnya.
Menurut menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim, selain kaunseling, kursus mengawal kemarahan atau "anger management" juga disedia buat orang ramai yang memerlukannya.
“Mereka yang telah mengalami trauma (akibat keganasan rumah tangga) perlu mendapatkan khidmat kaunseling dan bagi kes yang terbaru ini ia melibatkan kanak-kanak, oleh itu ia akan mengambil sedikit masa memandangkan mereka masih kecil.
“Para suami perlu mengawal kemarahan terutama sekali di kawasan awam. Kami menggalakkan para suami untuk mengikuti kursus mengawal kemarahan yang disediakan oleh kementerian,” kata Rohani.
Beliau turut memaklumkan wanita mangsa dibelasah suami di dalam sebuah lif hospital di Pulau Pinang baru-baru ini telah diberi perlindungan sementara serta sedang menjalani sesi kaunseling bersama anak-anaknya.
Menurut Rohani keadaan wanita itu kini selamat selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah mahkamah untuk memberi perlindungan kepadanya.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu program Agenda AWANI.
Sementara itu beliau berkata, berdasarkan statistik JKM sebanyak 565 kes membabitkan keganasan rumah tangga dilaporkan tahun lalu, manakala sehingga Mac tahun ini sebanyak 177 kes telah direkodkan.
Sebelum ini, rakaman CCTV yang dimuat naik dan disebarkan secara meluas dalam Facebook dan YouTube menunjukkan suspek menumbuk isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali.
Kejadian turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun.
Suspek, seorang penjawat awam menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan petang Khamis.
Klik video untuk temu ramah bersama Datuk Rohani Abdul Karim