KPWKM tambah bekalan makanan, keperluan hadapi gelombang banjir seterusnya
Bernama
Disember 22, 2022 16:52 MYT
Disember 22, 2022 16:52 MYT
KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang giat menambah dan menghantar bekalan makanan serta keperluan harian ke depot mini di seluruh Terengganu sebagai persiapan menghadapi gelombang banjir seterusnya.
Timbalan Menterinya Aiman Athirah Sabu berkata, ia antara lain berikutan maklum balas dan rungutan yang diterima daripada segelintir mangsa banjir mengenai bekalan makanan dan keperluan harian yang lewat sampai kepada mereka yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) pada banjir kali ini.
"Kami (KPWKM) ambil maklum ada beberapa isu (kelewatan) yang awal-awal (berlaku banjir) pengagihan bantuan keperluan harian dan bekalan makanan kerana banjir berlaku di beberapa tempat yang luar jangka dan kita menunggu bantuan daripada pihak bomba dan juga APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) serta agensi lain untuk dibawa bekalan ke PPS sebab ada yang terputus hubungan.
"Bekalan memang mencukupi tetapi kita tiada aset kenderaan berat untuk menghantar bekalan ke kawasan terputus hubungan. Apa pun kita akan beri perhatian untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa," kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa lemas Muhammad Sufi Eijaz Mohd Sobrey di Kampung Telari di sini hari ini.
Muhammad Sufi Eijaz ditemukan lemas pada 13 Dis lepas, selepas terjatuh dari jambatan tali air di Kampung Kebor Besar di Manir dekat sini, sehari sebelum itu.
Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata isu kelewatan penghantaran bekalan kepada mangsa banjir akibat ketiadaan aset berat juga telah dimaklumkan dan dibincang dalam peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan penambahbaikan akan dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut pada masa akan datang.
Beliau berkata KPWKM juga akan melihat dan menyantuni sebarang keperluan yang perlu diberikan atau ditambah kepada mangsa banjir yang kini berada di PPS dari semasa ke semasa.
"Kita juga akan beri perhatian terhadap aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan kanak-kanak bagi memastikan anak-anak (di PPS) ini selain dalam keadaan selamat, mereka juga tidak terbiar dan melakukan aktiviti yang bersesuaian," katanya.
-- BERNAMA