KPWKM sokong cadangan tempoh kerja 6 jam
Hakim Rahman
September 5, 2016 13:45 MYT
September 5, 2016 13:45 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyambut baik cadangan untuk melaksanakan sistem waktu bekerja enam jam sehari bagi penjawat awam di negara ini.
Malah cadangan itu dilihat bersesuaian, terutama bagi kakitangan awam wanita yang sudah berkeluarga.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kementerian sendiri telah melaksanakan kaedah waktu kerja anjal sejak dua tahun lalu bagi memberi kelonggaran kepada kakitangan kementerian yang telah berkeluarga untuk mendapat kesesuaian masa.
Menurut Rohani, terdapat tugasan di pejabat yang tidak perlu dilakukan di pejabat, ditambah dengan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pada masa sekarang.
"Contohnya seperti penterjemah buku, mereka tidak perlu berada di pejabat kerana tugasan itu boleh dilakukan di mana-mana," kata Rohani.
Katanya lagi, apa yang penting, kerja tersebut dapat disiapkan mengikut kualiti yang ditetapkan serta tidak lari daripada kehendak majikan.
"Bagi yang masuk bekerja pada pukul 10 pagi, mereka boleh terlebih dahulu menguruskan rumah dan anak-anak sebelum masuk ke pejabat dan pulang pada pukul 6 petang. Jadi mereka dapat seimbangkan antara kerja dan keluarga," kata Rohani.
Tambahnya, sistem waktu kerja anjal yang dilaksanakan di kementeriannya setakat ini memberi banyak manfaat kepada kakitangan kementerian berkenaan, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni dan berkualiti.
Bagaimanapun kementerian, jelasnya, tidak boleh bersendirian dalam merealisasikan cadangan tersebut.