KPWKM sambut baik pengumuman PM bekukan akaun suami gagal bayar nafkah - Rina Harun
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 20, 2022 14:44 MYT
Mac 20, 2022 14:44 MYT
PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyambut baik saranan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam untuk membekukan akaun suami yang gagal melunaskan nafkah kepada isteri serta membenarkan mereka bekerja dari rumah sepanjang tempoh 'iddah.
Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, perkara itu seharusnya diteliti sebaiknya sebelum dilaksanakan.
“Yang ini sebenarnya telahpun diucapkan semasa Sambutan Hari Wanita baru-baru ini dan kita lihat selain daripada itu wanita yang kehilangan suami sudah pasti keadaan masih ber'iddah, banyak urusan rumah tangga dan anak yang perlu mereka selesaikan.
“Pandemik COVID-19 juga membuktikan bahawa kita (wanita) boleh bekerja dari rumah,” jelasnya kepada media selepas hadir pada majlis Perasmian Pembukaan MDC Pusrawi Hospital Kota Damansara pagi tadi.
Tambahnya lagi, perkara itu memerlukan perbincangan yang lebih terperinci memandangkan ia akan melibatkan beberapa kementerian lain termasuk KPWKM.
Ini kerana jelasnya, ia turut membabitkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam perlaksanaan undang-undang.
“Sudah pasti kita akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian dan juga agensi yang berkaitan. Sebab ia melibatkan hal mahkamah, melibatkan hal tuntutan dan sebagainya,” jelasnya lagi.
Semalam ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021), Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan menyekat atau membekukan akaun bank golongan suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri.
Jelasnya, tindakan itu dibuat kerajaan bagi memastikan kepentingan dan hak wanita dapat terus dijaga kerana lazimnya bekas isteri sukar untuk mendapatkan nafkah selepas perceraian.
Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa kerajaan memberi kelonggaran kepada isteri yang kematian suami dibenarkan wanita bekerja dari rumah sehingga tamat tempoh 'iddah.
#bank
#COVID-19
#ismail sabri yaakob
#mahkamah syariah
#pandemik
#Perdana Menteri
#perhimpunan
#PM
#syariah
#UMNO
#undang-undang