KPWKM rancang kuat kuasa undang-undang pemasangan CCTV di taska
Bernama
Ogos 12, 2023 09:00 MYT
Ogos 12, 2023 09:00 MYT
CYBERJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam perancangan untuk menguatkuasakan undang-undang pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di setiap premis taska berdaftar bagi menangani isu penderaan kanak-kanak.
Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya akan melakukan perbincangan berhubung perkara itu di peringkat kementerian yang melibatkan agensi dan jabatan berkaitan dalam masa terdekat.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Program Pemerkasaan Organisasi Dalam Komuniti (CBO) KPWKM pada Jumaat, beliau berkata terdapat premis taska yang tidak memasang CCTV kerana tiada penguatkuasaan di bawah undang-undang setakat ini, sebaliknya pengusaha taska hanya digalakkan memasangnya.
"Dulu pun kita suruh, ada yang tidak bersetuju kerana (faktor) kos pemasangan CCTV. Mungkin kita akan tengok adakah ia melibatkan kos yang terlalu tinggi. Itu kita akan bincang bersama," katanya mengulas video tular seorang kanak-kanak dipercayai didera di sebuah taska di Sabah yang diambil daripada rakaman CCTV.
Nancy berkata dengan adanya pemasangan CCTV, ia dapat mengembalikan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke pusat jagaan berikutan kes penderaan yang berlaku sebelum ini.
"Elok untuk kita pastikan CCTV itu dipasang dan pengurus taska haruslah mematuhinya," katanya.
Pada Mac lepas di Dewan Rakyat, Nancy dilaporkan berkata tindakan mewajibkan pemasangan CCTV kepada pengusaha taska yang berdaftar, antara tiga penambahbaikan yang dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha meningkatkan operasi di pusat jagaan kanak-kanak itu.
Katanya pemasangan CCTV di taska juga membolehkan sebarang kejadian tidak diingini jika berlaku di premis itu dapat disiasat lebih terperinci.
Sementara itu, Nancy berkata sebanyak 3, 767 kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Selain itu, katanya berdasarkan statistik dikeluarkan oleh JKM, jabatan itu juga telah mengendalikan 402 kes keganasan rumah tangga di seluruh negara dalam tempoh sama.
Dalam usaha membendung peningkatan kes seumpama itu, beliau berkata KPWKM telah mewujudkan CBO yang berperanan dalam membangunkan komuniti setempat menerusi penglibatan dan tindakan kolektif ahli komuniti.
"Isu penjagaan keselamatan golongan rentan dalam komuniti khususnya kanak-kanak, golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas serta mangsa keganasan rumah tangga tidak boleh dipandang remeh.
"Tugas melindungi serta menjaga keselamatan dan kebajikan golongan tersebut adalah tanggungjawab semua termasuk komuniti setempat," katanya yang turut melancarkan direktori CBO KPWKM @ Sepang sebagai dokumen rujukan untuk menyantuni kumpulan sasar sekali gus mempercepatkan tindakan yang boleh diambil di peringkat komuniti.
-- BERNAMA