KPWKM lancar senarai semak pengasuh di rumah
Rahimah Abdullah
November 23, 2018 16:07 MYT
November 23, 2018 16:07 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan infografik senarai semak pengasuh di rumah sebagai panduan kepada ibu bapa sebelum dan selepas menghantar anak mereka kepada penjaga.
Ia dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Infografik itu adalah mekanisme yang berbentuk sementara sebelum sistem semakan komprehensif yang sedang dibangunkan kementerian siap sepenuhnya.
Ia turut dibina bersama Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Early Childhood Care and Education (ECCE) dan beberapa doktor pakar.
Senarai semak ini boleh didapati di laman web kementerian di www.kpwkm.gov.my, semua laman web dan laman sosial di agensi kerajaan.
Ia menyenaraikan panduan kepada ibu bapa mengenai pemerhatian terhadap respon anak, respon pengasuh, dan tanda penderaan selepas menghantar anak kepada pengasuh.
Manakala, turut dimasukkan, panduan sebelum menghantar anak iaitu persekitaran, peribadi pengasuh, pengalaman pengasuh, keluarga yang tinggal bersama dan perkhidmatan disediakan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dalam sidang media sebelum itu menjelaskan sistem semakan pengasuh berkenaan dijangka dapat dilaksanakan tahun hadapan.
“Jadi sementara menunggu sistem saringan dapat digunakan pada tahun hadapan, ini adalah kempen kesedaran yang kita akan turunkan kepada akar umbi.
"Semua tahu bahawa ini adalah senarai semak. Ada yang tidak pasti tanda-tanda (penderaan) maka dia boleh hubungi Talian Kasih 15999 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu.
"Kita juga ada Persatuan Pengasuh yang akan membantu kita,” katanya.
Sistem semakan itu juga menyaksikan kerjasama dengan pihak mahkamah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia.
“Ibu bapa pada tahun hadapan boleh gunakan sistem semakan ini yang hampir sama dengan semakan Imigresen.
"Masukkan nombor kad pengenalan, maka ia boleh semakan sama ada terdapat (pengasuh) rekod jenayah atau tidak,” tambah beliau.
Beliau, dalam pada itu, menegaskan langkah kerajaan itu bukan menghalang mana-mana pihak untuk mendapat pekerjaan sebagai pengasuh.
“Kita sedang usahakan (sistem semakan) dengan secepat mungkin dan sekarang kita mendapat kerjasama baik dengan PDRM, mahkamah dan penjara,” kata beliau lagi.
Justeru, ibu bapa dinasihatkan agar lebih peka terhadap isu-isu semasa dan info terkini yang disalurkan kementerian berkenaan.
#Hannah Yeoh
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#jkm
#KPWKM
#Persatuan Pengasuh
#Talian Kasih 15999
#Wan Azizah