KPWKM komited banteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak

Astro Awani
Oktober 5, 2022 04:02 MYT
Zailah berkata, program advokasi, pencegahan, intervensi dan perkhidmatan sokongan sosial yang diperkenalkan oleh kerajaan mensasarkan golongan keluarga dan kanak-kanak yang berisiko tinggi melalui pelbagai inisiatif. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pendekatan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), dalam mencegah jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak adalah melalui program advokasi, pencegahan, intervensi dan perkhidmatan sokongan sosial.
Timbalan Menterinya, Datuk Zailah Md Yusoff berkata, program tersebut mempunyai golongan sasar iaitu keluarga dan kanak-kanak yang berisiko tinggi melalui pelbagai inisiatif.
Sewaktu menjawab soalan di persidangan Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Rantau Panjang itu berkata, antara inisiatif yang dijalankan ialah penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak (MKBKK).
Antara inisiatif lain ialah penubuhan Jawatankuasa Tindakan Bersepadu yang memberi tumpuan pada pengurusan isu-isu sosial kanak-kanak di media sosial serta Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-kanak Dalam Dunia Siber 2015.
"Pendekatan yang digunakan oleh KPWKM dalam mencegah jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak adalah melalui program advokasi, pencegahan, intervensi dan perkhidmatan sokongan sosial khususnya untuk keluarga dan kanak-kanak yang berisiko tinggi melalui pelbagai inisiatif dalam isu ini," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, yang mahu mengetahui usaha kerajaan mengatasi masalah eksploitasi seksual kanak-kanak di alam maya disebabkan oleh lambakan pelbagai aplikasi tidak bermoral di atas talian.
Shamsul berkata, lambakan pelbagai aplikasi berpotensi merosakkan akhlak kanak-kanak ini di masa hadapan yang berisiko membawa kepada gejala seks bebas dan masalah sosial yang lain.
Dalam pada itu, Zailah berkata, program dan inisiatif kerajaan semata-mata tidak mencukupi sekiranya tiada rasa tanggungjawab dalam kalangan institusi kekeluargaan.
"Kita adakan webinar, pengaruh media sosial, kempen penerangan melalui medium, terutama berkaitan kesedaran ibu bapa, keselamatan kanak-kanak, program kukuhkan adab dan nilai sosial, dengan tema sihat emosi, sayangi diri.
"Apa pun yang kita buat tak cukup dengan penguatkuasaan undang-undang, tetapi kesedaran mesti bermula dari rumah, diri dan keluarga dan ada tanggungjawab kita bersama," jelasnya lagi.
#media sosial #Kanak-kanak #Dewan Rakyat #Zailah Md Yusoff