KPWKM ke arah perkukuhkan industri penjagaan
Bernama
Mei 29, 2024 23:48 MYT
Mei 29, 2024 23:48 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Institut Sosial Malaysia (ISM) telah melatih lebih 61 penjaga setakat tahun lepas dan menyasarkan untuk melatih 385 penjaga lagi tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ISM, agensi di bawah kementerian, juga berharap dapat membekalkan penjaga dengan kelayakan diploma memandangkan terdapat permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan itu di negara ini.
"Kini kami sedang melatih semula penjaga ini dan berharap dapat memberi diploma kerana mereka juga belajar beberapa modul daripada universiti, jadi apabila keluar nanti mereka boleh mendapatkan perkerjaan di tempat lain.
"Saya tahu ramai yang mencari kemahiran seumpama itu dalam industri penjagaan dan pada masa sama kami bawa lebih ramai untuk melatih mereka membantu Malaysia, terutama bagi mendapatkan mereka yang berkemahiran dalam penjagaan bukan sahaja bagi orang tua tetapi juga mereka yang memerlukan bantuan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas pelancaran buku 'Building a Caring Society by Designing Joy' oleh YOKUK dan perayaan ulang tahun ke-25 yayasan itu di sini pada Rabu.
Nancy berkata kementeriannya juga terbuka untuk melatih lebih ramai penjaga yang ingin meningkatkan kemahiran mereka.
Sementara itu, mengenai majlis tersebut Nancy berkata YOKUK adalah yayasan untuk golongan kurang bernasib baik dan kurang upaya berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan yang menawarkan terapi pemulihan, penjagaan paliatif, perkhidmatan kebajikan dan latihan pendidikan.
Ditubuhkan pada 1999 dengan seorang petugas dan pelanggan, yayasan itu kini telah berkembang dengan petugas sebanyak 30 orang untuk memberi khidmat kepada lebih 6,500 pelanggan.
"Komitmen tidak berbelah-bahagi yayasan dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang setiap individunya dijaga dan dihargai amat dipuji dan buku ini adalah rangkuman intipati misi mereka selain menyediakan garis panduan yang kukuh untuk kita semua ikuti," katanya.
Buku 'Building a Caring Society by Designing Joy' menampilkan pendekatan menyeluruh dalam memberi penjagaan kepada mereka yang kurang bernasib baik selain penyelesaian bagi menangani halangan dalam membangunkan masyarkat penyayang.
-- BERNAMA