KPWKM kaji terminologi didakwa menyinggung perasaan, sensitiviti

Bernama
Mac 19, 2021 04:15 MYT
EPC adalah nama bantuan yang digunakan dalam urusan pemberian bantuan kepada golongan OKU bagi menggalakkan mereka untuk terus bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang memperhalusi dan mengkaji terminologi yang digunakan untuk dijenamakan semula, susulan isu terminologi Elaun Pekerja Cacat (EPC), dikatakan menyinggung perasaan dan sensitiviti golongan tertentu.
KPWKM dalam kenyataan pada Jumaat memohon maaf sekiranya terminologi Elaun Pekerja Cacat (EPC) yang telah digunakan sejak 1970-an menyinggung perasaan dan sensitiviti golongan tertentu seperti mana tular di media sosial.
EPC adalah nama bantuan yang digunakan dalam urusan pemberian bantuan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi menggalakkan mereka untuk terus bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.
KPWKM berkata penjenamaan semula terminologi adalah seiring dengan Sambutan Ulang Tahun ke-75 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan disambut pada 7 April tahun ini.
Selain EPC, JKM juga menguruskan bantuan lain untuk golongan OKU seperti Geran Pelancaran untuk OKU menceburi bidang perusahaan atau perniagaan kecil; Bantuan Alat Tiruan Dan Alatan Sokongan (BAT/S) bagi OKU kurang kemampuan untuk membeli alat tiruan atau alat sokongan; Bantuan Penjagaan OKU Terlantar / Pesakit Kronik Terlantar (BPT); Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB); dan Bantuan Tongkat Putih "White Cane" dan mesin Braille.
"KPWKM komited dalam usaha-usaha memastikan kebajikan kumpulan sasarnya terus terpelihara dan berharap semoga insentif dan kenaikan bantuan yang telah diumumkan oleh pihak Kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#KPWKM #terminologi #Elaun Pekerja Cacat #sensitiviti #epc #menyinggung perasaan #penjenamaan semula #Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm
;