KPWKM harap bomba luluskan taska di tingkat atas bangunan

Rahimah Abdullah
Ogos 22, 2016 16:44 MYT
ROHANI: Majikan pada masa sama disaran agar lebih kreatif dan mencari mekanime berkesan dalam memastikan golongan wanita terus terlibat dalam pasaran kerja. - Gambar Astro AWANI
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membenarkan taska diwujudkan di tingkat atas bangunan.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ketika ini katanya, berdasarkan peraturan bomba, taska hanya boleh dibina di tingkat bawah atas faktor keselamatan.
Jelasnya, cadangan kementerian itu adalah antara inisiatif dilakukan kerajaan bagi menggalakkan majikan di sektor swasta mewujudkan lebih banyak taska di tempat kerja.
"Kadang-kadang untuk mewujudkan taska di tempat kerja kalau ikutkan arahan bomba, ia mesti di tingkat satu. Namun, sekarang, tingkat satu sudah jadi shopping complex atau sekarang sudah jadi tempat letak kereta," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Kepimpinan Wanita 2016 di Bandar Sunway di sini hari ini.
Namun, beliau berkata, pihaknya akan memastikan aspek keselamatan dititikberatkan walaupun lokasi taska berkenaan berada di tingkat tinggi.
"Jadi sekarang kita sedang bekerjasama dengan bomba dan PBT untuk membenarkan tingkat yang lebih tinggi dengan tidak ada kompromi kepada keselamatan. Namun, ia memerlukan sedikit masa," katanya lagi.
Justeru, beliau berpendapat majikan sektor swasta perlu diberikan sedikit masa berikutan pelbagai kekangan yang terpaksa dilalui mereka sebelum kemudahan berkenaan dapat disediakan.
Majikan pada masa sama disaran agar lebih kreatif dan mencari mekanime berkesan dalam memastikan golongan wanita terus terlibat dalam pasaran kerja.
"Jadilah lebih kreatif. Kalau nak menyediakan sesuatu untuk pekerja kita, anda kena kreatif contoh sewa bangunan bersebelahan dan sebagainya," ujar beliau.
Beliau yakin dengan usaha menambah bilangan taska di tempat kerja, ia akan menggalakkan lebih ramai wanita untuk kembali bekerja terutama di kalangan mereka yang sudah berumah tangga.
#Keluarga dan Masyarakat #Kementerian Pembangunan Wanita #pbt #Rohani Abdul Karim
;