KPWKM cadang wujudkan kursus pasca perkahwinan

Astro Awani
Mac 6, 2021 19:14 MYT
Datuk Seri Rina Harun berkata, kementerian masih dalam peringkat untuk mempertimbangkan sama ada kursus pasca perkahwinan itu wajib diambil oleh suami isteri tanpa mengira latar belakang agama dan sebaliknya. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang mewujudkan kursus pasca perkahwinan bagi suami isteri untuk mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, kementerian masih dalam peringkat untuk mempertimbangkan sama ada kursus pasca perkahwinan itu wajib diambil oleh suami isteri tanpa mengira latar belakang agama dan sebaliknya.
"Bila kita nak kahwin, terutama yang dalam golongan Muslim kita wajibkan kursus pra perkahwinan tetapi dalam melayari kehidupan perkahwinan tiada kursus yang diwajibkan, maka kementerian akan melihat perkara ini supaya ada kursus-kursus yang diwajibkan, contohnya parenting skills (keibubapaan),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Pemerkasaan Wanita Sempena Hari Wanita Sedunia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kejadian seorang lelaki yang tergamak membunuh isterinya dan meninggalkan dua orang anak di Kota Tinggi, awal bulan ini, Rina berkata pihaknya akan memastikan kebajikan anak-anak itu terbela .
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendapatkan hak penjagaan sementara terhadap dua anak wanita yang maut ditembak suami,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Rina berkata, pelbagai inisiatif strategik dan progresif telah dan akan dilaksanakan pihak kementerian untuk memperkasakan sosio- ekonomi wanita dengan memberikan peluang untuk golongan ini meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka terutamanya bagi mereka yang terkesan dengan wabak COVID-19.
Kementerian dengan kerjasama pihak swasta menyasarkan untuk mewujudkan kira- kira 10,000 peluang pekerjaan menjelang hujung tahun ini.
#KPWKM #Rina Harun #kursus pasca perkahwinan #Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat #kekeluargaan #keibubapaan #Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm
;