KPWKM bincang dengan KKM isu wad bersalin tidak cukup katil

Bernama
September 26, 2022 18:43 MYT
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff percaya hasil perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) kelak, masalah wad bersalin kekurangan katil akan dapat diselesaikan segera. - Gambar fail BERNAMA
PASIR MAS: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil serius dan bercadang akan membawa isu tidak cukup katil di wad bersalin di hospital kerajaan ke peringkat kabinet.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, beliau percaya hasil perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) kelak, masalah itu akan dapat diselesaikan segera oleh KKM.
"Saya serahkan kepada menteri dan saya tidak berada dalam mesyuarat Kabinet. Jadi, perkara ini kita serah kepada pihak kementerian untuk membawa berbincang dengan KKM.
"Kita akan bantu-membantu bagi setiap ruang yang ada, untuk memberi perkhidmatan yang terbaik terutama bagi kemudahan di wad-wad bersalin," katanya selepas merasmikan Program Jelajah Go Digital-MPUK Peringkat Pasir Mas-Rantau Panjang di Bazar Siti Fatimah, Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Media hari ini melaporkan kesukaran wanita yang bersalin di beberapa hospital kerajaan ditempatkan di kerusi sepanjang tempoh menunggu kelahiran bayi dengan ada yang terpaksa menunggu berhari-hari untuk mendapatkan katil.
Selain itu, mereka juga berhadapan pelbagai kesulitan, antaranya terpaksa merujuk ke beberapa hospital sebelum diterima masuk ke wad kerana alasan sama, iaitu jumlah pesakit dalam satu masa terlalu ramai dan kekurangan katil.
Mengulas lanjut, Siti Zailah mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat, untuk turut membantu memberi kemudahan kepada hospital yang tidak cukup katil di wad bersalin.
"Saya memahami bagaimana perasaan ibu yang ingin bersalin mengalami kesakitan, malah yakin KKM sudah mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah ini.
"Setiap kementerian ada peranannya, jadi kita bagi sepenuhnya bab-bab yang perlu di hospital yang berada di bawah bidang kuasa KKM," katanya.
Terdahulu Siti Zailah berkata, Bazar Siti Fatimah, Rantau Panjang adalah pasar ketiga di Kelantan yang menggunakan sistem Duit Now QR menerusi kaedah terminal bayaran tanpa tunai bagi membolehkan transaksi bayaran melalui kad debit atau kad kredit dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.
"Semua usahawan dan peniaga di jajahan Pasir Mas terutama di Rantau Panjang merebut peluang mendapatkan terminal percuma yang disediakan oleh Dr Azu Tranning and Consultancy (DATA).
"Terdapat sejumlah 3,000 unit terminal disediakan kepada peniaga dan program ini adalah induk Ekonomi Digital Negeri Kelantan di bawah teras mewujudkan masyarakat digital yang insklusif," katanya. - BERNAMA
#wad bersalin #tidak cukup katil #Kementerian Kesihatan #Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat
;