KPWKM beri fokus tiga perkara tingkat peluang wanita dalam ekonomi

Bernama
Ogos 29, 2023 21:42 MYT
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata tiga fokus berkenaan adalah penambahbaikan kepada dasar dan undang-undang seperti Dasar Wanita Negara serta pelaksanaan penuh Akta Antigangguan Seksual 2022. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberikan fokus kepada tiga perkara utama bagi meningkatkan peluang dan penyertaan wanita dalam ekonomi.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata tiga fokus berkenaan adalah penambahbaikan kepada dasar dan undang-undang seperti Dasar Wanita Negara serta pelaksanaan penuh Akta Antigangguan Seksual 2022.
Selain itu, katanya penyediaan ekosistem yang menyokong kepada wanita untuk terlibat dalam ekonomi seperti pusat penjagaan bersubsidi serta bantuan kewangan untuk membantu usahawan wanita seperti MyKasih Kapital dan 2 Year Exit Programme (2YEP).
Seterusnya, penyediaan akses latihan dan pembangunan kapasiti seperti program Wanita Bangkit serta program WeJana dan WeBridge.
"Umum mengetahui kadar penyertaan tenaga buruh wanita masih rendah iaitu 56.3 peratus berbanding lelaki 82.9 peratus bagi tempoh suku tahun kedua 2023 berdasarkan Laporan Statistik Tenaga Buruh yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
"Malah bila dibandingkan dengan negara ASEAN, tenaga buruh wanita Malaysia juga menunjukkan kadar yang amat rendah," katanya pada program sesi diskusi khas Kasih Wanita: Ekonomi MADANI Memperkasa Wanita, di sini hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mengenai program berkenaan, Nancy berkata ia bertujuan mengenal pasti hala tuju dalam memperkukuh sistem sokongan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh.
Selain itu, menurutnya ia juga bagi meningkatkan kesedaran untuk mengarusperdanakan kesaksamaan gender dalam menyokong pembangunan ekonomi negara serta meningkatkan jaringan sinergi dengan pelbagai pihak dalam usaha memperkasakan wanita.
"Usaha dan inisiatif ke arah meningkatkan potensi wanita dalam ekonomi ini bukan peranan KPWKM sahaja, tetapi ia memerlukan komitmen dan penglibatan sepenuhnya dan kerjasama strategik serta usaha daripada pelbagai pihak khususnya kementerian dan agensi kerajaan yang lain.
"Oleh itu, menjadi harapan saya agar diskusi ini akan dapat memberi manfaat dalam usaha kita mencapai sasaran meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus, seterusnya memperkasakan wanita di negara ini," katanya.
-- BERNAMA
#KPWKM #wanita #ekonomi #Nancy Shukri
;