KPWKM beri bantuan tuala wanita secara bersasar - Nancy
Astro Awani
Disember 15, 2022 18:54 MYT
Disember 15, 2022 18:54 MYT
KUALA LUMPUR: Pemberian tuala wanita perlu dilakukan secara bersasar dengan bantuan diberikan kepada Orang Asli, B40 dan golongan tidak berkemampuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri berkata, pemberian tuala wanita secara percuma di pejabat mungkin sukar ditafsirkan kerana melibatkan mekanisme yang berbeza.
"Kita sokong untuk membantu rakyat, tapi sasaran kita kepada B40 dan orang susah. Sebab itu kita pergi sampai ke Orang Asli, jadi bukan sahaja bersasar di pejabat sasaran kita adalah kepada B40 dan juga mereka yang betul-betul susah.
"Kalau di pejabat mungkin mekanisme itu agar susah (ditafsirkan), melainkan ada orang luar datang untuk menggunakan tempat itu kerana biasanya di pejabat semua bekerja, maka mungkin kemampuan itu berbeza," katanya.
Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas merasmikan Forum Wanita dan Gadis Malaysia (MWGF) 2022, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Nancy berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak menggunakan istilah kemiskinan haid sebalik lebih kepada mendidik mengenai pendidikan haid.
"Kita tidak panggil ia kemiskinan haid, sebenarnya ia lebih kepada mendidik remaja mengenai haid.
"Kita lebih kepada pendidikan sebab kita mahu bantu ramai orang terutama golongan Orang Asli, B40 dan memerlukan," katanya