KPWKM ambil tindakan kepada lebih 500 taska tidak berdaftar

Bernama
April 29, 2024 04:20 MYT
Nancy berucap pada Majlis Pelancaran 'Heart and Homes: Aidilfitri Charity Launch With Sommni and Poney', di Putrajaya semalam. - Facebook Nancy Shukri
PUTRAJAYA: Sebanyak 49.8 peratus atau 538 daripada 1,080 taman asuhan kanak-kanak (taska) yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negara ini telah diambil tindakan penguatkuasaan dan pentadbiran.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata antara tindakan penguatkuasaan yang diambil ialah lak (sita), denda dan kompaun, manakala tindakan pentadbiran pula melibatkan pemberian notis peringatan kepada operator taska tersebut.
"Ia adalah proses penguatkuasaan berterusan yang kita lalui sekarang iaitu pemutihan...sama ada kita akan beri mereka amaran atau masa untuk mereka memenuhi syarat yang telah ditetapkan.
"Dalam kita nak mengambil tindakan, kita juga perlu memikirkan kesannya secara lebih besar seperti kalau taska itu terus dilak, di mana pula ibu bapa nak hantar anak-anak mereka, (jadi) tindakan kita perlu munasabah," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran 'Heart and Homes: Aidilfitri Charity Launch With Sommni and Poney', di sini pada Isnin.
Pada majlis itu, Sommni and Poney menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN), menyerahkan sumbangan 100 unit tilam dianggarkan bernilai RM35,000 untuk disalurkan kepada enam institusi dan rumah kanak-kanak yang berdaftar di bawah JKM.
Terdahulu, semasa berucap Nancy berkata syarikat korporat, swasta dan individu dialu-alukan untuk menjalankan program CSR bersama agensi di bawah kementerian demi kesejahteraan kumpulan sasar KPWKM.
Beliau berkata kerjasama strategik tersebut menunjukkan hubungan yang harmoni antara kerajaan dan swasta dalam membantu masyarakat yang memerlukan.
"Penglibatan para penyumbang melalui platform CSR dengan YKN membolehkan lebih ramai lagi golongan sasar dapat dibantu dan sumbangan dapat diatur serta disalurkan secara terus dan sistematik kepada mereka," katanya.
-- BERNAMA
#KPWKM #taska tidak berdaftar #Nancy Shukri #tindakan penguatkuasaan dan pentadbiran
;