KPWKM ambil langkah pertingkat penyertaan tenaga buruh wanita

Wanna Abd Rahim
Ogos 26, 2022 17:06 MYT
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihaknya telah mengadakan pelbagai program serta kursus bimbingan dan keusahawanan bagi keterlibatan golongan itu. - Gambar fail/BERNAMA
PASIR MAS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kadar penyertaan dalam pasaran buruh wanita dapat dipertingkatkan.
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihaknya telah mengadakan pelbagai program serta kursus bimbingan dan keusahawanan bagi keterlibatan golongan itu.
"Kita memahami keadaan itu dan bagi mengimbanginya kita turut meminta kerjasama dari semua pihak sekali gus memberi sokongan kepada buruh wanita.
"Kita membuka peluang kepada wanita bukan semata-mata mengharapkan makan gaji sahaja. Mereka boleh buat kerja sendiri, perniagaan dan sebagainya," katanya pada sidang media Program Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Sempena Festival Pasir Mas “Jjupo Mato” Keluarga Malaysia, hari ini.
Siti Zailah berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan pelbagai pihak untuk bersama dalam membantu membangun dan meningkatkan kadar buruh wanita di Malaysia.
"Kita menyediakan pelbagai kursus dan platform untuk mereka juga memberi sumbangan dalam membimbing wanita sekali gus meletakkan sasaran tiga puluh peratus untuk wanita berada dalam sudut pentadbiran, ekonomi dan pendidikan,"tambahnya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penglibatan golongan wanita bagi aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh masih rendah berbanding negara Asia Tenggara lain. Beliau berkata negara kini berdepan cabaran utama apabila populasi perempuan pada 2020 adalah 47.7 peratus iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia sedangkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita tahun lepas hanya 55.5 peratus.
Dalam perkembangan lain, menurutnya KPWKM akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM9.5 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara tahun ini.
BACA: Kadar penyertaan tenaga buruh wanita masih rendah - PM
Menurut Siti Zailah, peruntukan itu disalurkan melalui agensinya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diagihkan dalam bentuk bekalan makanan, bantal dan selimut bagi keperluan mangsa yang terjejas.
Beliau berkata setakat ini Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Johor menerima peruntukan tertinggi, masing-masing sebanyak RM1 juta.
Katanya, persiapan barangan keperluan termasuk stok barangan yang disimpan di pusat bencana.
"Ketika banjir berlaku secara mendadak kita tak sempat menyediakan bahan mentah dan sebagainya. Jadi, pengalaman yang lalu, itulah mungkin kita ambil, dimana makanan yang bakal disediakan akan bersesuai dengan suasana dan persekitaran,"katanya.
Mengulas mengenai kekuatan jentera, Siti Zailah berkata, kekuatan pegawai KPWKM ada lebih daripada tujuh ribu di seluruh negara yang turut dibantu daripada wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain.
#KPWKM #Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat #tenaga buruh wanita #Pasaran buruh #Zailah Mohd Yusoff
;