KPWKM akui sukar dapatkan bukti sindiket pengemis

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 29, 2015 20:41 MYT
Azizah turut mengakui terdapat segelintir ibu bapa yang menggunakan anak-anak mereka untuk mengemis. - Gambar Fail
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengakui berdepan kesukaran untuk mendapatkan bukti bagi menentukan pihak yang terlibat dengan kegiatan sindiket pengemis.
Malah, Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata kengganan pihak yang mempunyai maklumat berkenaan sindiket tersebut menambah kesukaran kepada pihak berkuasa.
“Cuma setakat ini tidak boleh dibuktikan. Kita tidak cukup bukti untuk diambil tindakan.
“Iitu yang kita kata, orang kata memang ada sindiket. Tapi kita kata kalau ada sindiket, kita nak buktinya. Untuk itu orang ramai perlu bagi kita bukti,” katanya sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli sama ada kerajaan boleh mengesahkan wujudnya sindiket pengemis dan bentuk tindakan terhadap kumpulan yang terbabit.
Malah, Azizah pada masa sama juga mengakui terdapat segelintir ibu bapa yang menggunakan anak-anak mereka untuk mengemis.
“Ini amaran, kita akan ambil tindakan terhadap mereka (ibu bapa) kerana mereka tidak boleh guna anak mereka untuk mengemis," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang menggesa supaya tindakan diambil terhadap ibu bapa yang membawa anak ketika mengemis.
Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, ibu bapa yang melakukan kesalahan, jika disabit kesalahan boleh dikenakan tindakan penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.
Selain itu katanya, pihak yang menjalankan sindiket pengemis juga licik dalam menjalankan operasi mereka.
“Mereka yang terlibat ini mereka terlalu licik, pandai. Apabila kita ambil tindakan dibawah Akta Kanak-Kanak 2001, mereka pula membawa orang yang berumur lebih 18 tahun untuk melakukan pengemisan kerana mereka tahu kita tidak boleh ambil tindakan dibawah akta kanak-kanak,” jelasnya.
Bagimanapun, Azizah yang juga Naib Ketua Wanita UMNO berkata kementeriannya sentiasa mengadakan operasi mengesan pengemis yang wujud ‘aktiviti’ mengemis terutama yang membabitkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
Selain itu, pihaknya turut memberikan khidmat kemahiran dan latihan kepada pengemis yang berumur bawah 60 tahun supaya mereka mampu menyara diri berdasarkan latihan yang diberi.
#azizah mohd dun #Hatta Ramli #Keluarga dan Masyarakat #Kementerian Pembangunan Wanita #pengemis
;