KPWKM agih bakul makanan kepada penduduk PPR Desa Rejang

Astro Awani
Jun 21, 2021 08:48 MYT
Rina menyusun barangan keperluan ke dalam lori sebelum diagihkan kepada penduduk perumahan awam Desa Rejang yang dikenakan PKPD semalam, 20 Jun, 2021. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengagihkan 3,000 bakul makanan kepada penduduk PPR Desa Rejang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu.
Sumbangan yang turut merangkumi bantuan keperluan asas diagihkan Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun semalam, kepada penduduk yang terjejas.
Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyelaras dan mengagihkan sumbangan yang diberikan oleh pihak lain termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
"Sebanyak 3,000 bakul bantuan bersasar telah diedarkan sejak Sabtu, bagi memastikan penduduk mendapat bekalan asas untuk meneruskan kehidupan terutamanya mereka yang berkeluarga.
"Kementerian juga telah menyelaras bantuan daripada beberapa agensi serta NGO lain agar dapat disampaikan dengan lebih teratur.
"Malah, taklimat telah disampaikan kepada semua ketua blok bagi memenuhi permintaan khusus daripada penduduk yang terjejas," kata Rina.
PPR Desa Rejang di Setapak, dikenakan PKPD dari 18 Jun hingga 1 Julai.
Rina berkata, keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKPD di PPR Desa Rejang bukan sesuatu yang mudah apabila jangkitan dalam komuniti semakin meningkat.
"Justeru, saya mohon agar para penghuni untuk terus mengamalkan kebersihan kendiri, diberikan ketabahan dan kekuatan bagi menghadapi tempoh sukar ini," tambahnya.
Pada masa sama, Rina berkata, KPWKM merancang membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) kepada golongan sasar, bagi mempercepatkan sasaran imuniti kelompok.
Ia sekali gus menjayakan matlamat Pelan Pemulihan Negara.
Bagi tujuan itu, KPWKM menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kementerian lain, agensi swasta dan NGO.
"Lebih 50 peratus daripada 2.4 juta warga emas yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin telah menerimanya, selain 10 peratus dalam kalangan mereka telah selesai dua dos.
"Bagi kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU) juga, vaksinasi sedang giat dijalankan.
"Selain PPV di Kompleks MAB (Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia) dan PPV pandu lalu pertama untuk OKU, kita akan buka lagi PPV khas untuk kumpulan ini," katanya.
Dalam pada itu, Rina menggesa supaya pemberian vaksin kepada kanak-kanak disegerakan, memandangkan lebih 82,000 dalam kalangan itu telah dijangkiti COVID-19.
#PKPD #COVID-19 #vaksin #OKU #PPV #jkm #Pusat Pemberian Vaksin #jangkitan #imuniti kelompok #warga emas #Jabatan Kebajikan Masyarakat #Bakul Makanan #Rina Mohd Harun #bantuan #sumbangan #KPWKM #PPR Desa Rejang #jangkitan dalam komuniti
;