KPT tumpu pembangunan institusi bentuk kecemerlangan akademik
Bernama
Mac 2, 2024 08:50 MYT
Mac 2, 2024 08:50 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menumpukan kepada pembangunan institusi pendidikan tinggi sebagai wahana pengubah dan pembangun budaya dalam membentuk kecemerlangan akademik dan sahsiah mahasiswa.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT Datuk Megat Sany Megat Ahmad berkata turut diutamakan adalah kebolehpasaran pelajar, program pemindahan dan perkongsian ilmu serta kesiagaan menghadapi Revolusi Industri 4.0.
"Justeru, penting untuk pengalaman pembelajaran berstruktur diberikan kepada pelatih industri sejajar dengan matlamat pendidikan atau kerjaya mereka.
"Pendedahan kepada kerja dunia sebenar daripada pengalaman praktikal dan kemahiran baharu ini adalah sebagai persediaan untuk menempuh alam pekerjaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman di antara Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Universiti Melaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengenai peluang dalam menjalani program latihan industri kepada pelajar.
Menurut Megat Sany, kerjasama antara LPPSA, UM dan UTM merupakan langkah penting untuk menyokong dan memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan pihak industri.
"Tidak hanya bertujuan untuk memperkuat hubungan antara institusi akademik dan industri, tetapi pendedahan praktikal sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar, terutamanya dalam penempatan pelajar untuk menjalani latihan industri," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA Mohd Farid Nawawi berkata kerjasama itu merupakan satu langkah proaktif dalam menyediakan peluang latihan industri kepada mahasiswa dari UTM dan UM.
"Kami yakin pendedahan ini akan membekalkan mahasiswa dengan kemahiran, pengetahuan, dan pengalaman yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia pekerjaan selepas tamat pengajian," katanya.
Beliau berkata 10 pelajar akan menjalani latihan industri di LPPSA untuk ambilan pertama ini.
-- BERNAMA