KPT tubuh jawatankuasa khas tangani masalah sosial mahasiswa
Hakim Rahman
Februari 26, 2021 12:05 MYT
Februari 26, 2021 12:05 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas Menangani Masalah Sosial Mahasiswa bagi meneliti dan menangani masalah sosial semasa.
Jawatankuasa itu diwujudkan berikutan timbul kebimbangan terhadap pembentukan dan pemerkasaan sahsiah mahasiswa selain bertujuan melahirkan individu bertanggungjawab dalam pembangunan komuniti sejagat.
“Penubuhan jawatankuasa itu diharap dalam meningkatkan perkembangan sahsiah serta menangani permasalah sosial pelajar secara holistik,” kata KPT dalam kenyataan.
Keanggotaan jawatankuasa tersebut merentasi pelbagai kementerian, badan bukan kerajaan serta wakil pelajar.
Wakil-wakil kementerian yang dilantik terdiri daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri Agama, Ahmad Marzuk Shaary.
Jawatankuasa tersebut akan turut disertai wakil pelajar, iaitu Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Ali Hanifah Amran, Yang Dipertua universiti Kuala Lumpur dan Naib Presiden ll Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman.
Sebelum ini aplikasi Sugarbook, plaftorm wanita muda mencari penaja atau sugar daddy menerbitkan data mendakwa berlaku peningkatan pengguna dalam kalangan mahasiswa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).