KPT tiada halangan pelarian Rohingya sambung pengajian di IPT - Khaled

Astro Awani
Jun 20, 2023 16:50 MYT
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada sidang media sempena Pelancaran Program Semarak Siswa Madani di Dewan Zaaba Kementerian Pengajian Tinggi hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Tiada halangan untuk pelarian Rohingya diberi peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan kerana ia tidak akan mengancam kedaulatan negara, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled berkata isu terbabit tidak timbul kerana Malaysia sebagai sebuah negara bertamadun tidak boleh lari daripada sifat manusiawi dan ihsan.
"Tidak timbul, soalnya kita sebahagian daripada negara bertamadun memahami bahawa diharapkan dari negara kita untuk bantu mereka yang menjadi pelarian.
"Bagi kita, kalau ada tempat, tak ada halangan untuk beri (pelarian Rohingya sambung pengajian) kerana kalau nak masuk universiti bukan maknanya mereka macam yang kita tengok di sana," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Semarak Siswa Madani pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan segelintir pihak yang gusar dengan langkah membenarkan pelarian Rohingya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di IPT tempatan, bakal mengancam kedaulatan negara.
Pada Isnin, Penasihat KPT, Prof Emeritus Dr Morshidi Sirat, dilaporkan berkata pelarian Rohingya yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, akan dapat berbuat demikian tidak lama lagi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Peluang melanjutkan pengajian untuk pelarian itu akan dibiayai menerusi sumbangan Dana Qatar Untuk Pembangunan yang diterima sebelum tahun 2020, berjumlah AS$50 juta (RM231 juta).
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, selain etnik Rohingya, pihaknya turut memaklumkan kepada Qatar supaya membantu pelarian lain termasuk Palestin dan Syria.
Dalam perkembangan berasingan, Mohamed Khaled berkata, kerajaan tidak boleh memaksa majikan untuk memberi layanan kepada pelajar yang mengikuti latihan industri sama seperti pekerja.
"Semua sedar, mengakui hakikat bahawa mereka bukan pekerja, mereka hanya pelatih industri, mereka bukan pekerja maka sudah tentu tidak wajar untuk mereka mendapat gaji atau layanan sama.
"Pada masa sama kerajaan menyedari, kerajaan tak boleh paksa syarikat (beri layanan sama seperti pekerja, jadi dalam konteks ini, kita kena imbangi perkara itu," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menggesa syarikat tempatan untuk mempertimbangkan pemberian elaun kepada pelajar latihan industri di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bagaimanapun tidak menetapkan satu kadar untuk elaun terbabit tetapi jumlah itu wajar dipertimbang bagi memastikan ia dapat membantu kos sara hidup pelajar.
#Mohamed Khaled Nordin #KPT #Institusi Pengajian Tinggi #pengajian #sambung pengajian #Rohingya #pelarian #Qatar #ana Qatar Untuk Pembangunan
;