KPT tawar 24,500 tempat pengajian sempena program setahun bersama Kerajaan MADANI
Bernama
Disember 7, 2023 21:48 MYT
Disember 7, 2023 21:48 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menawarkan 24,500 tempat pengajian di politeknik, kolej komuniti dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersempena dengan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil yang bermula esok hingga 10 Dis ini.
KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia melibatkan 24,000 tempat pengajian secara tawaran terus ke program peringkat diploma dan sijil di politeknik atau kolej komuniti terpilih, manakala 500 tempat lagi di lima program pradiploma UiTM untuk para pemohon terutamanya daripada golongan B40.
Siswazah dan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berminat untuk meningkatkan kebolehpasaran dipelawa ke reruai KPT bagi mengetahui mengenai pelbagai kursus peningkatan kerjaya yang ditawarkan melalui Program Global Outsourcing Talent bagi Pensijilan Kompetensi.
"Turut menanti para pengunjung terutamanya murid dan lepasan sekolah yang ingin mendapatkan maklumat ke menara gading nanti ialah perkhidmatan konsultasi pendidikan tinggi melalui UPUOnline oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi," menurut KPT.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut membuka kaunter bagi memberi penerangan berhubung perkhidmatan dan produk pembiayaan pendidikan tinggi di samping menawarkan diskaun hingga 15 peratus kepada para peminjam yang ingin membuat bayaran balik.
Program "Genggam Ijazah Tanpa Ke Universiti" pula menyediakan maklumat dan konsultasi berkenaan Program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) serta Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kelolaan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
KPT turut membawa pelbagai pameran yang memaparkan pencapaian inovasi dan penyelidikan sektor pendidikan tinggi negara serta dua bas kesihatan bergerak dari UiTM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
"(Kemudahan bas kesihatan) ini untuk para pengunjung mendapatkan konsultasi dan rawatan secara percuma berkaitan mata dan juga pergigian daripada pakar kesihatan yang bertugas," menurut KPT.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali sebelum ini memaklumkan sebanyak 102 perkhidmatan kerajaan dibawa secara langsung kepada rakyat di bawah satu bumbung bersempena dengan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI itu.
-- BERNAMA