KPT sumbang RM25,000 bantuan khas bencana, bantu ringankan beban mahasiswa UniMAP
Bernama
Mei 13, 2024 07:30 MYT
Mei 13, 2024 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Yayasan Perkasa Siswa hari ini menyampaikan sumbangan Bantuan Khas Bencana berjumlah RM25,000, bagi membantu mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang terkesan akibat insiden kebakaran, pada Sabtu.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata bantuan segera tersebut, bagi menyantuni keperluan mahasiswa yang menjadi mangsa, susulan kebakaran yang berlaku di Blok B, Kompleks Perumahan Pauh Putra, UniMAP pada 11 Mei.
"Sumbangan daripada Yayasan Perkasa Siswa, merupakan tambahan dan pelengkap kepada bantuan yang disediakan oleh pihak UniMAP sendiri bernilai lebih RM200,000, bagi urusan kebajikan pelajar terutamanya melibatkan penempatan sementara.
"Saya mewakili seluruh warga kementerian mendoakan agar mangsa sentiasa sabar, tabah dan diberi kekuatan mendepani ujian yang menimpa, serta semoga semua urusan pelajar dalam meneruskan kehidupan, pengajian dan pembelajaran dipermudahkan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook, pada Isnin.
Zambry berkata sumbangan tersebut, disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan berkenaan, Prof Dr Azlinda Azman kepada Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli di Putrajaya, semalam.
Dalam hantaran tersebut, Zambry berkata KPT sentiasa cakna terhadap isu kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa, selari dengan prinsip yang didukung oleh Kerajaan MADANI.
-- BERNAMA