KPT serah kepada polis siasat kes pelajar IPT ditahan bersama ganja
Bernama
November 16, 2024 16:10 MYT
November 16, 2024 16:10 MYT
KANGAR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes melibatkan empat pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT) yang ditahan bersama rampasan dadah jenis ganja dalam serbuan di Seri Iskandar, Perak pada Khamis lepas (14 Nov).
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes empat pelajar IPT yang ditahan bersama dadah jenis ganja di Seri Iskandar, Perak.
- Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, menyatakan bahawa tindakan undang-undang akan diambil jika pelajar tersebut didapati terlibat dalam jenayah.
- KPT menekankan kepentingan disiplin dalam kampus dan peranan bahagian hal ehwal pelajar untuk menangani isu-isu seperti ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata pihak polis akan mengambil langkah mengikut undang-undang terhadap pelajar IPT berkenaan sekiranya dipercayai terlibat dalam jenayah itu.
"Sama ada pelajar atau bukan pelajar, mahasiswa atau bukan mahasiswa setiap perkara dilakukan seseorang melibatkan hal jenayah maka kita serahkan kepada pihak keselamatan (polis) ...," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Perlis di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan polis menahan empat individu termasuk dua wanita yang juga pelajar sebuah IPT dan merampas dadah jenis ganja dalam serbuan di Seri Iskandar pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat dipetik sebagai berkata kesemua suspek warga tempatan itu ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat pada 1.40 tengah hari dan hasil pemeriksaan di rumah itu menemukan dadah jenis ganja dengan anggaran berat 1.92 kilogram bernilai RM2,500.
Dadah itu dipercayai untuk kegunaan mereka sendiri dan juga pengedaran.
Mengulas lanjut, Zambry yang juga Setiausaha Agung BN berkata laporan lengkap berhubung kes itu perlu diperkemas untuk membolehkan langkah susulan dapat diambil pihak IPT berkenaan selain langkah undang-undang.
"Kita lihat bahawa dari semasa ke semasa kes sebegini yang perlu kita tangani tetapi apa pun yang paling mustahak ialah pihak universiti dan pihak kementerian akan mengambil langkah segera ... dengan jumlah pelajar universiti dengan kedudukan mereka di universiti itu sendiri mereka terdedah segala kemungkinan," katanya.
Beliau berkata sering kali pihaknya menekankan aspek disiplin dalam kampus perlu dijaga berserta peranan pihak bahagian hal ehwal pelajar di IPT perlu dipertingkatkan.
-- BERNAMA